
LAWAS: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari telah menganjurkan program ceramah agama serta mengadakan simbolik penyerahan sumbangan kerusi kepada kemudahan ibadah di Zon Punang, di sini.
Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Sari, Puan Auji Najian Garip, berkata program tersebut melibatkan tiga ranting di Zon Punang, iaitu Ranting Punang Lama, Ranting Punang Jaya dan Ranting Punang Baru.
“Program yang berlangsung di Masjid Darul Iman Kampung Punang ini dihadiri lebih 100 wanita dari PBB dan penduduk perkampungan sekitar. Ia merupakan usaha kami untuk menyantuni masyarakat dan mendekatkan lagi hubungan antara Wanita PBB N.82 Bukit Sari dengan wanita di setiap zon atau ranting di Lawas,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, baru-baru ini
Dalam program tersebut, Wanita Zon Punang turut menyerahkan sumbangan kerusi kepada Masjid Darul Iman dan Surau Nurul Syakirin, yang disampaikan oleh Auji mewakili Wanita PBB.
Selain itu, satu jualan amal pakaian terpakai (preloved) turut diadakan bagi mengisi aktiviti kemasyarakatan.

Auji berkata Program Jelajah Zon yang dianjurkan itu bertujuan menggalakkan keterlibatan lebih aktif dalam kalangan wanita di setiap zon.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemaju Masyarakat Pembangunan Insan (KEMAS), Ustazah Siti Zainah Julkarnain, yang telah menyampaikan ceramah agama sepanjang program berlangsung.
“Ceramah ini menjadi salah satu usaha kita untuk berkongsi ilmu agama, menggalakkan amalan bersedekah serta meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai platform untuk mengeratkan ukhwah dan memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan komuniti.
Oleh Adeng Edrus