
BETONG: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban terus komited memperkasa golongan wanita luar bandar menerusi penganjuran program kemahiran berasaskan keusahawanan bagi meningkatkan pengetahuan serta keupayaan menjana pendapatan sendiri.
Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Douglas berkata, inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada latihan praktikal yang boleh diterjemahkan secara langsung kepada peluang ekonomi, termasuk kemahiran menghasilkan produk makanan seperti bun yang berpotensi dipasarkan.
Menurutnya, program seumpama itu membuka ruang kepada wanita luar bandar untuk mempelajari kemahiran asas pembuatan makanan yang boleh diusahakan dari rumah, sama ada sebagai pendapatan tambahan keluarga mahupun langkah awal menceburi perniagaan kecil-kecilan.
“Pendekatan latihan secara praktikal ini membolehkan peserta memahami keseluruhan proses penghasilan produk, sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk mencuba dan mengembangkan potensi diri dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Belajar Membuat Bun yang diadakan di Kampung Sungai Langit, Ulu Layar, di sini, hari ini.

Natasha memaklumkan seramai 55 peserta telah menyertai program berkenaan yang turut menekankan pembelajaran berstruktur, disiplin kerja serta pendedahan kepada amalan penyediaan makanan yang lebih tersusun bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan.
Tambahnya, program tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemahiran teknikal, malah membina keyakinan diri serta memupuk budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan wanita luar bandar.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Yahos School of Skills atas kerjasama dan sumbangan kepakaran dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau turut menegaskan Pergerakan Wanita PBB Cawangan Bukit Saban akan terus menganjurkan program kemahiran seumpama ini secara berperingkat bagi memastikan lebih ramai wanita luar bandar mendapat akses kepada latihan yang relevan dengan keperluan ekonomi semasa.
Oleh Adi Safarman