BETONG: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.36 Layar mempunyai cara tersendiri untuk memperkenalkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada rakyat di Parlimen Betong.
Ketua Cawangan PBB Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata tiga cawangan iaitu PBB Bukit Saban, Saribas dan Layar bergabung menganjurkan sukaneka bagi tujuan itu.
“Ia untuk mengeratkan hubungan sesama ahli parti sekali gus mempromosikan calon GPS Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu kepada rakyat di sini.
“Pergerakan Wanita PBB menggunakan cara tersendiri untuk mempromosikan calon GPS kepada rakyat di sini. Ia diadakan dengan penganjuran sukaneka yang menghimpunkan pelbagai acara sukan yang dipertandingkan,” katanya.
Rentap yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata melalui inisiatif penganjuran sukaneka ini, ia juga dapat memberi kesempatan kepada semua Pergerakan Wanita PBB Ranting dalam kawasan ini mengenali lebih rapat calon mereka.
Dalam pada itu, Rentap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar mahu supaya Pergerakan Wanita serta Pemuda PBB di ketiga-tiga cawangan itu supaya memainkan peranan penting dalam memastikan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka keluar mengundi pada 19 November nanti.
“Saya harap pengundi akan turun mengundi pada 19 November nanti dan tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk menentukan masa depan kita,” katanya.