
MIRI: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong membantu seorang wanita yang berdepan situasi cemas apabila keretanya terkunci di kawasan MDS Kuala Baram di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12.23 tengah hari itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada pemanggil seorang wanita yang memaklumkan kenderaan miliknya terkunci.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah, berkata sepasukan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi sejurus panggilan diterima.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar kereta milik pelapor berada dalam keadaan terkunci seperti yang dilaporkan.
“Anggota bertindak menjalankan pemeriksaan awal sebelum menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kenderaan tersebut dan operasi berjaya diselesaikan dengan selamat,” katanya di sini.
Menurut Henry, operasi mengambil masa kira-kira 20 minit dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Oleh Liong Chai Ling