
SIBU: Seorang wanita berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) pendengaran berusia 48 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya sendiri di sebuah rumah di Lower Bukit Lan, minggu lalu.
Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap ibunya yang berusia 76 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Lower Bukit Lan, kira-kira 1.50 petang pada 25 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan terhadap wanita itu dibacakan di hadapan Majistret Romario Jonoi di Mahkamah Majistret Sibu hari ini.
Memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, laporan bedah siasat serta dokumen berkaitan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk tindakan selanjutnya.
Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh dan wanita itu diperintahkan menjalani tahanan reman di Penjara Sibu sehingga prosiding berikutnya.
Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak memaklumkan siasatan kes diteruskan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut di Mahkamah Tinggi.
Oleh Adi Safarman