
LIMBANG: Seorang wanita maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebatang besi yang melintang di jalan raya di Jalan Pandaruan, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 9.25 pagi tadi, mangsa, Faridah Adek, 43, dari Kampung Pahlawan, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, ketika kejadian, mangsa bersama suaminya masing-masing menunggang motosikal secara berasingan dari arah Kampung Pahlawan menuju ke Bandar Limbang.
Beliau berkata, suami mangsa menunggang motosikal di hadapan manakala mangsa mengekori dari belakang sehingga tiba di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal punca kejadian dipercayai mangsa gagal mengelak satu besi yang melintang ke jalan raya yang berada di lorong kirinya yang dipercayai melibatkan kemalangan sebuah jentera jengkaut yang menjalankan kerja di tepi jalan.
“Suami mangsa terdahulu sempat mengelak besi tersebut, bagaimanapun mangsa gagal mengelak dan merempuh besi yang melintang dan terbabas ke sebelah jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pihak ambulans bergegas ke lokasi kejadian dan membawa mangsa ke Hospital Limbang, namun mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Oleh Adeng Edrus