
KUCHING: Seorang wanita warga emas maut manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan kereta yang dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Batu 6, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3.32 petang itu, kemalangan kendiri berkenaan melibatkan kenderaan jenis Proton Saga dengan tiga orang mangsa.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.32 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Mohd Norarbi berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi pada 3.36 petang, didapati berlaku kemalangan melibatkan kereta yang telah melanggar pembahagi jalan.

“Seramai tiga mangsa terlibat dalam kejadian ini, terdiri daripada dua penumpang perempuan dewasa dan seorang pemandu lelaki dewasa. Seorang mangsa wanita yang duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu didapati masih berada di dalam kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pihak bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa berkenaan menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Mangsa wanita meninggal dunia, manakala pemandu kenderaan dilaporkan cedera ringan. Seorang lagi penumpang belakang pula mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sementara dua mangsa cedera dibawa ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan.