Seorang rakan pernah menyebut bahawa tidak mudah menjadi wanita kerana dugaan penyakit lebih banyak daripada kaum Adam. Kata rakan itu, selain turut berpeluang mendapat penyakit seperti kanser, serangan jantung, buah pinggang, kencing manis dan sebagainya, kaum wanita juga berdepan dengan penyakit tambahan seperti kanser payudara, kanser serviks dan kanser ovari.
Inilah hakikatnya apabila menjadi wanita namun bukan semua penyakit itu akan menyerang jika wanita tahu bagaimana menjaga kesihatan dan mengambil langkah awal untuk mencegah penyakit daripada bertandang. Penyakit, jika dikesan lebih awal, masih boleh dibendung dan dirawat . Bukankah Allah sudah memberi jaminan bahawa tiada penyakit yang tidak boleh dirawat kecuali mati!.
Malangnya, ramai wanita yang mengambil sikap acuh tak acuh terhadap pencegahan awal penyakit. Selagi penyakit belum menunjukkan tanda-tandanya, ramai yang yakin diri sendiri sihat dan tidak perlu menjalani sebarang pemeriksaan.
Malah ada juga wanita yang sudah mempunyai simptom-simptom penyakit tetapi enggan menjalani pemeriksaan kerana bimbang jika memang disahkan sakit, misalnya kanser payudara, kanser serviks dan sebagainya, mereka akan ditinggalkan suami!. Apa yang mereka tidak fikirkan adalah, ditakdirkan mereka tewas kepada penyakit-penyakit ini pada usia muda, mereka sebenarnya memberi lesen kepada suami untuk mencari ganti!
Laporan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan kanser serviks atau kanser pangkal rahim merupakan kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita di negara ini, namun sedihnya, peratusan wanita yang pergi menjalani ujian Pap Smear bagi pengesanan awal penyakit ini masih rendah.
Malah 80 peratus wanita di negara ini juga belum menjalani ujian Mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara sedangkan nisbah menunjukkan 34.1 peratus wanita bagi setiap 100,000 wanita di negara ini berdepan dengan kanser tersebut.
Mengapa agaknya kaum wanita kita masih tidak begitu pedulikan kesihatan masing-masing sedangkan kanser ovari, kanser payudara dan kanser serviks adalah ancaman khusus untuk mereka?
Amat malang apabila mereka datang mencari doktor apabila benjolan pada bahagian payudara sudah sebesar bola ping pong atau bahagian serviks sudah mengeluarkan nanah dan darah. Ketika itu sel-sel kanser bukan lagi mendominasi bahagian badan yang itu sahaja tetapi sudah merebak ke bahagian badan yang lain sehingga sukar untuk dibendung lagi.
Apabila itu berlaku, hanya keajaiban Allah sahaja yang boleh memulihkan keadaan. Jika masih dapat dirawat pun, ia akan mengambil masa yang panjang serta kos rawatan yang cukup tinggi.
Kerajaan sebenarnya amat mengambil berat akan kebajikan kaum wanita di negara ini. Buktinya dalam Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan RM11.5 juta bagi menawarkan saringan dan ujian kanser payudara dan kanser serviks untuk wanita di seluruh negara.
Malah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah memperkenalkan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanira (WCaRe) dalam usaha mempromosikan program subsidi ujian Mamogram dan saringan kanser serviks (Ujian HPV DNA).
Menurut laporan Bernama, untuk lebih memudahkan lagi wanita, LPPKN juga menyediakan kemudahan pengangkutan dari Klinik Nur Sejahtera atau pusat komuniti ke pusat Mamogram. Tidak cukup setakat itu, elaun makan RM10 diberikan kepada klien yang dirujuk menjalani ujian di pusat Mamogram yagn jaraknya lebih 200 kilometer atau bagi perjalanan lebih empat jam sehari dari tempat berkumpul.
Selain itu, bantuan kemudahan penginapan sebanyak RM110 sehari juga diberikan kepada klien yang tidak dapat menyelesaikan urusan Mamogram pada hari yang sama.
Makanya, jika ada wanita yang memberi alasan tiada dana atau tiada daya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, itu sebenarnya alasan sekadar untuk menyenangkan hati sendiri. Pihak kerajaan sudah memainkan peranan untuk membantu rakyat dan sekarang ini terpulang kepada wanita sendiri untuk membawa diri mereka ke pusat-pusat pemeriksaan kesihatan. Ingat pepatah orang tua : Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.