SIBU: Wanita Kristian digesa terus memperkukuh peranan sebagai tonggak kekuatan keluarga, gereja dan masyarakat dalam mendepani cabaran ekonomi, sosial serta ketidaktentuan yang semakin kompleks pada masa ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, pengaruh wanita semakin penting kerana mereka bukan sahaja memainkan peranan dalam institusi keluarga, malah turut menyumbang kepada pembangunan gereja, masyarakat dan pembentukan generasi masa depan.
Menurutnya, wanita Kristian mempunyai pengaruh besar melalui nilai keimanan, kasih sayang, pengorbanan, kebijaksanaan dan doa yang menjadi sumber kekuatan kepada keluarga serta komuniti.
“Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, pengaruh wanita Kristian menjadi semakin penting.
“Doa seorang ibu, keteguhan iman seorang wanita dan hati yang penuh keprihatinan mampu membawa harapan, pemulihan dan kekuatan kepada keluarga serta masyarakat,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Kaunselor Sean Wong pada majlis makan malam sempena sambutan Hari Wanita anjuran Kumpulan Wanita Gereja Methodist Iban di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, banyak keluarga kini berdepan tekanan ekonomi, manakala golongan muda pula menghadapi pelbagai ketidakpastian dan godaan yang boleh mempengaruhi kehidupan serta masa depan mereka.
Sehubungan itu, katanya, wanita Kristian mempunyai tanggungjawab besar dalam membimbing, mendidik dan membentuk generasi muda agar terus berpegang kepada nilai-nilai murni serta ajaran Kristian.
Wong berkata, sejarah dalam Alkitab memperlihatkan bagaimana wanita memainkan peranan penting dalam melaksanakan kehendak Tuhan, antaranya Maria yang menunjukkan ketaatan, Ester yang berani, Rut yang setia dan Debora yang memimpin dengan kebijaksanaan.
“Teladan mereka mengingatkan kita bahawa Tuhan boleh menggunakan sesiapa sahaja yang bersedia untuk percaya dan melayani-Nya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada wanita Kristian yang terus memberikan khidmat kepada masyarakat tanpa mengharapkan pengiktirafan.
Katanya, sumbangan melalui kerja kebajikan, pelayanan gereja, bantuan kepada golongan memerlukan serta sokongan kepada keluarga memberikan impak besar kepada kehidupan masyarakat.
Beliau turut menggesa kaum wanita agar terus memperkukuhkan iman, membina keluarga yang kukuh, berkhidmat kepada masyarakat dan menjadi teladan yang mencerminkan kasih Kristus dalam kehidupan seharian.
Pada masa sama, beliau mengajak masyarakat untuk terus bekerjasama membina Sarawak yang aman, prihatin dan bersatu padu dengan menghormati kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang menjadi kekuatan negeri ini.
Sementara itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Kumpulan Wanita Gereja Methodist Iban atas komitmen dan pelayanan berterusan mereka kepada gereja dan masyarakat.
Sambutan Hari Wanita berkenaan menjadi wadah menghargai sumbangan wanita Kristian selain memperkukuhkan semangat kebersamaan, pelayanan dan keprihatinan terhadap keluarga serta masyarakat.
Oleh Tarani Lanting





