

DARO: Seorang wanita yang dilaporkan hilang di Kampung Penibong, Pulau Bruit sejak malam tadi ditemukan selamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), tengah hari tadi.
Mangsa dikenali sebagai Suriya Merais, 53, berasal dari Kampung Penuai.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak berkata, operasi SAR hari kedua bermula seawal 9.00 pagi dengan membabitkan 95 anggota pelbagai agensi yang dibahagikan kepada tujuh pasukan dalam radius pencarian sejauh enam kilometer.
Menurutnya, pada 10.32 pagi, pasukan SAR menemui petunjuk dipercayai ditinggalkan mangsa iaitu buah asam paya di dalam guni.
“Pada 12.09 tengah hari, mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat di kawasan hutan dan seterusnya dibawa keluar ke Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan selepas mangsa disahkan selamat.
Oleh Tarani Lanting