
BINTANGOR: Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an ditahan pihak polis selepas dipercayai terlibat dalam kes penipuan e-dagang penjualan Toyota Hilux yang menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM43,596.75, kata Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering.
Katanya, suspek ditahan kira-kira 11.45 pagi semalam oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong kerana disyaki berperanan sebagai keldai akaun dalam kegiatan penipuan tersebut.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah tertarik dengan iklan penjualan kenderaan jenis Toyota Hilux yang ditawarkan pada harga yang rendah melalui media sosial Facebook.
“Mangsa kemudiannya telah membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, suspek turut dikesan terlibat dalam beberapa laporan polis lain, masing-masing di Serian, Dang Wangi dan Lutong.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun serta sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak polis sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan kepada pihak ketiga bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Mangsa juga boleh menghubungi talian hotline Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi melaporkan penipuan dalam talian, atau menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek