
MIRI: Seorang wanita ditahan polis selepas disyaki mencuri bungkusan mengandungi pakaian bernilai kira-kira RM3,000 di Times Square Miri, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 1.30 pagi, suspek ditahan oleh pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan selepas disyaki terlibat dalam kecurian bungkusan di lorong tingkat bawah premis itu.
Menurut kenyataan dimuat naik di laman Facebook Polis Daerah Miri, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek mengambil bungkusan yang diletakkan di atas peti surat di lobi tingkat bawah Blok C Times Square Miri.
“Suspek kemudiannya diserahkan kepada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (MPV) sebelum dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Polis memaklumkan bungkusan terbabit mengandungi pakaian yang dihantar melalui perkhidmatan kurier.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Oleh Liong Chai ling