
PUTRAJAYA, 23 Julai -- Dua pengurus kanan syarikat direman lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memanipulasi maklumat pengguna sejak 2017 sehingga tahun ini. Majistret Nuraisyah Mohd Yusof mengeluarkan perintah reman itu yang bermula hari ini hingga 27 Julai selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini. Menurut sumber SPRM, kedua-dua individu yang berumur 38 dan 45 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 9 malam semalam selepas hadir memberi keterangan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan melakukan pecah amanah wang milik syarikat berjumlah RM200,000, tahun lepas.
Intan Safina Yusof, 39, yang memakai blaus berwarna merah jambu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.
Mengikut pertuduhan, Intan Safina sebagai Pengarah Syarikat Arena Abadi Sdn Bhd yang diamanahkan dengan suatu harta iaitu wang berjumlah RM200,000 telah memindahkan wang itu ke dalam akaun Public Bank miliknya dari akaun syarikat berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah iaitu dengan curangnya menggunakan harta itu untuk kegunaan sendiri.
Wanita itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Jalan Tun Sambanthan 3, Brickfields, di sini, antara 25 Januari dan 28 Februari 2019 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Diar Isda Yazmin Ismail merayu jaminan RM20,000 dengan alasan tertuduh kini tidak bekerja.
“Tertuduh mempunyai empat orang anak berusia antara tiga dan 14 tahun…Suami tertuduh bekerja di sektor pelancongan yang kini terjejas teruk akibat Covid-19,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 24 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Selepas prosiding, tertuduh dilihat memeluk suami dan bapa mentuanya sambil menangis. – Bernama