‘Abang, makan tengah hari dah saya bekalkan. Bekas bekal tu bawa balik ok, jangan hilangkan Tupperware tu’.
‘Aiman, jangan hilangkan botol minuman Tupperware mama tu. Jaga baik-baik, jangan letak sembarangan’.
Biasa mendengar ayat-ayat ini dari mulut seorang wanita? Rasa-rasanya ramai suami atau anak yang saban hari mendengar pesanan ini sebelum pergi kerja atau sekolah. Inti patinya adalah, Tupperware itu. Ya, plastik ajaib yang boleh menjadikan seseorang wanita senyum gembira atau marah, merajuk dan membebel serta mengungkit berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya.
Jika ada para suami atau anak-anak yang tidak percaya penangan kehilangan Tupperware terhadap seorang wanita, cubalah hilangkan satu daripada plastik ajaib ini. Meski diganti dengan yang baharu, kehilangan Tupperware itu tetap berbekas di hati dan akan dikenang untuk tempoh yang lama.
Perkataan pertama yang pasti didengar adalah – ‘Apa?? Hilang?? Macam mana boleh hilang? Letak di mana sebelum hilang? Mahal saya beli tu, suka-suka hati awak nak hilangkan’ dan soal-siasat ini akan berterusan sehingga suspek kehilangan kata-kata untuk menjawab.
Kenapa Tupperware begitu istimewa di hati wanita? Adakah kerana ia mahal? Adakah kerana ia cantik? Sebenarnya susah untuk menjawab soalan-soalan ini. Ada bekas-bekas plastik mahal lain, tapi jika dihilangkan oleh anak atau suami, wanita boleh bertenang. Malah mereka boleh ‘move on’ dengan mudah, tetapi bukan dengan kehilangan Tupperware.
Apa yang boleh dikatakan, nama itu seperti mempunyai ‘kuasa’ untuk menggembirakan atau menyedihkan wanita, bergantung pada keadaan. Jika dihadiahkan dengan Tupperware, lihatlah senyum girang pada wajah wanita, tetapi jika kehilangan Tupperware, mereka berubah menjadi sebaliknya.
Pantang ada keluaran terbaharu, wanita peminat tegar plastik ajaib ini akan menjadi orang pertama membeli. Jangan tidak percaya, ada yang sanggup menimbun hutang semata-mata untuk memiliki setiap koleksi terbaharu Tupperware. Wanita jenis inilah yang paling disukai oleh pengeluar dan penjual Tupperware kerana sanggup berkorban untuk mengayakan mereka.
Namun, bukan semuanya suka berhutang. Ada sebahagian wanita pula suka menabung dan ‘main kutu’ untuk mendapatkan Tupperware idaman atau membuat bayaran secara ansuran jika ada penjual yang menawarkan cara pembayaran sedemikian.
Disebabkan istimewanya plastik ajaib itu di hati wanita, ramai yang membelinya tetapi bukan untuk digunakan, sebaliknya disusun cantic-catik di dalam kabinet dapur dan akan dihitung serta ditatap dari semasa ke semasa. Kepuasan terpancar pada wajah wanita setiap kali menatap deretan Tupperware pelbagai bentuk, saiz dan warna yang tersusun rapi.
Jika ada suami yang berani menegur tabiat ini, siapkan telinga untuk mendengar jawapan seperti ‘Ala, abang kumpul kayu golf, saya tak bising pun’ atau ‘Awak tak tahu nilai Tupperware ni, mahal tau’ atau ‘Koleksi jam tangan awak jauh lebih mahal daripada Tupperware saya’ atau ‘Ala, bukannya saya buat benda tak elok pun’ dan jawapan itu berterusan bergantung pada hobi atau situasi setiap pasangan.
Sesekali apabila mendengar ustaz atau ustazah berceramah mengatakan setiap harta yang kita ada di dunia ini akan dihisab dan boleh melambatkan seseorang untuk masuk syurga, (apa lagi jika harta itu tidak digunakan), keinsafan itu timbul seketika. Terasa sudah terlalu banyak Tupperware dan harta lain yang boleh melambatkan perjalanan ke syurga, namun dua tiga bulan kemudian, koleksi Tupperware tetap bertambah lagi!
Malah kadang-kadang kesedaran juga timbul apabila ada yang menegur dan memberi nasihat ‘lebih baik kumpul duit beli emas sebab emas ada nilai untuk dijual balik’. Namun, godaan daripada warna-warna dan bentuk cantik Tupperware terbaharu di pasaran itu jauh lebih hebat sehingga nasihat itu tenggelam seketika.
Mungkin kerana istimewanya plastik ajaib inilah maka ia tidak digunakan untuk menyimpan ikan, udang, sotong, ayam dan daging di dalam peti sejuk. Peranan ini diambil oleh plastik-plastik biasa atau bekas-bekas aiskrim. Sama juga keadaannya ketika bersedekah. Jarang-jarang wanita menggunakan plastik ajaib ini untuk menyampaikan sedekah lauk-pauk kepada jiran, apatah lagi jika memang diketahui jiran itu memang jarang-jarang memberi balik bekas sedekah.
Sebahagian daripada plastik ajaib ini akan hanya dikeluarkan ketika membuat rumah terbuka, tidak kira Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Gawai, Krismas dan sebagainya. Kebanggaan yang tidak terkira akan membuak di dalam hati wanita jika ada tetamu yang menegur ‘Eh, koleksi baharu Tupperware ke ni?’ atau ‘Cantiknya, saya belum ada lagi koleksi ni’.
Jika dinilai tentang keterujaan wanita terhadap plastik ajaib ini, ternyata ada juga kebaikannya kepada wanita itu sendiri atau orang lain. Antaranya termasuklah amalan menabung untuk mendapatkan apa-apa yang diinginkan, mendidik anak atau suami untuk lebih prihatin terhadap barang-barang mereka, menggunakan barangan yang bebas toksik untuk kesihatan keluarga, mengamalkan hobi yang sihat (kecuali yang suka berhutang) dan banyak lagi. Tanyalah wanita jika ingin tahu lebih banyak kebaikannya!
Selagi hobi mengumpul plastik ajaib ini tidak membebankan diri atau orang lain, terpulanglah kepada setiap wanita untuk berhenti atau terus menjadi pengumpul setia Tupperware. Setiap orang ada hobi masing-masing dan setiap orang juga berhak untuk berasa teruja dan puas dengan hobi mereka.
Cuma secebis nasihat kepada wanita pengumpul Tupperware atau apa-apa sahaja barangan lain, elakkan berhutang dan amalkan sikap berjimat cermat. Biarlah hobi itu mendatangkan bahagia, jangan sampai hobi itu boleh menyusahkan diri atau orang lain.