
KANOWIT: Enam mangsa termasuk tiga wanita dan tiga kanak-kanak lelaki cedera parah selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jambatan Kanowit, Jalan Kanowit-Song, petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 2.20 petang, sebelum sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera Pasukan Penyelamat Bomba (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan yang dipercayai bertembung dari arah bertentangan.
“Dua mangsa wanita dewasa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, manakala seorang kanak-kanak lelaki turut tersepit di bahagian tempat duduk belakang.


PASUKAN BOMBA….Menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan di Jambatan Kanowit Jalan Kanowit-Song, petang tadi.
“Tiga lagi mangsa iaitu dua kanak-kanak lelaki dan seorang wanita dewasa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, seorang lelaki dewasa yang menaiki pacuan empat roda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mereka kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan awal.
“Kesemua enam mangsa yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Kanowit bagi menerima rawatan lanjut. Pasukan bomba turut melakukan kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian,” jelas kenyataan itu.
Oleh Akun Giman