
KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian, tampil membantu seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Phang selepas beliau mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian sebelum kes itu berkembang kepada dakwaan transaksi perbankan tanpa kebenaran serta penyalahgunaan identitinya.
Menurut Kong, Phang tertarik dengan satu iklan pelaburan di Facebook sebelum dihubungi oleh seorang individu menerusi Facebook Messenger. Selepas diberikan pelbagai jaminan mengenai pelaburan tersebut, beliau memindahkan wang berjumlah RM2,000 ke akaun bank yang diberikan.
Katanya, semua komunikasi terputus selepas pembayaran dibuat dan Phang percaya beliau telah menjadi mangsa penipuan.
“Beberapa minggu kemudian, beliau mendapati terdapat transaksi yang dipercayai tidak dibenarkan melibatkan dia akaun bank miliknya.”
“Beliau menegaskan tidak pernah memberikan nama pengguna, kata laluan atau maklumat log masuk perbankan dalam talian kepada mana-mana pihak,” katanya.
Kong berkata Phang kemudian membuat laporan polis dan menjalankan semakan lanjut berhubung transaksi berkenaan.
Lebih membimbangkan, Kong berkata, Phang turut mendapati sebuah akaun bank dipercayai telah dibuka menggunakan maklumat peribadinya tanpa pengetahuan atau kebenarannya.
“Jika dakwaan ini benar, ia menimbulkan kebimbangan serius mengenai penyalahgunaan identiti seseorang untuk membuka akaun bank. Keadaan seperti ini boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan sistem perbankan dan kewangan negara,” katanya.
Kong berkata beliau akan membantu membawa perkara itu kepada perhatian pihak bank berkenaan supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan berhubung pembukaan akaun tersebut.
Beliau turut menggesa Bank Negara Malaysia serta pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk meneliti sama ada semua prosedur pengesahan telah dipatuhi dan sama ada wujud kelemahan sistem yang memerlukan tindakan segera.
Pada masa sama, Kong mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap iklan pelaburan dalam talian yang menawarkan pulangan lumayan.
“Jika sesuatu peluang pelaburan kelihatan terlalu baik untuk dipercayai, kebiasaannya ia memang tidak benar. Sentiasa semak kesahihan pelaburan dan syarikat yang terlibat sebelum membuat sebarang pemindahan wang,” katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa dapat menyiasat kes itu secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang bagi melindungi pengguna serta mengekalkan keyakinan terhadap sistem kewangan negara.
Oleh Connie Chieng




