
SERIAN: Seorang wanita cedera selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dalam satu kemalangan kendiri yang berlaku di Simpang Rasau, Jalan Serian-Balai Ringin, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer.
Tiba pada 6.33 pagi, pasukan mendapati mangsa dalam keadaan sedar namun tersepit di bahagian pemandu dengan kecederaan di kepala.
Operasi mengeluarkan mangsa diketuai PBK I Nasihin Jaum berjaya dilakukan pada 6.38 pagi sebelum diserahkan kepada pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan awal.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Oleh Amanda L.