
KUCHING: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas diserang seekor anjing yang dipercayai dijangkiti rabies ketika berjoging bersama dua kanak-kanak di Stutong Sama Jaya, semalam.
Menurut seorang ahli keluarga mangsa, wanita tersebut sedang berjoging bersama dua kanak-kanak apabila seekor anjing berwarna hitam tiba-tiba menyerangnya.
“Mangsa mengalami gigitan pada bahagian muka, kaki dan tangan akibat serangan itu,” katanya.
Satu video kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki menggunakan kayu untuk menghalang anjing tersebut yang terus menyerang mangsa.
Ahli keluarga mangsa berkata wanita itu kemudian segera dibawa mendapatkan suntikan selepas kejadian.
Ahli keluarga mangsa menggesa orang ramai supaya berhati-hati ketika berkunjung ke taman rekreasi.
Ketika dihubungi, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Tan Kai berkata beliau belum menerima sebarang laporan mengenai serangan anjing tersebut dan memaklumkan kawasan itu berada di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng masih belum memberikan maklum balas ketika dihubungi berhubung insiden berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memaklumkan bahawa mangsa berusia 63 tahun meninggal dunia pada 3 Mei lalu selepas ujian makmal mengesahkan beliau dijangkiti rabies.
Mangsa dilaporkan digigit anak anjing pada pertengahan Februari tetapi tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan. Beliau hanya mencuci luka tersebut dengan air. Hal ini merupakan kematian keempat akibat rabies melibatkan manusia di Sarawak tahun ini.
Oleh Connie Chieng