KUCHING: Seorang wanita mengalami kecederaan setelah kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Camar di sini, hari ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 5.46 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota dengan kekuatan seramai 11 orang ke lokasi.
”Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Perodua Axia dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
”Seorang mangsa perempuan didapati tersepit di dalam Perodua Axia manakala seorang mangsa di dalam pacuan empat roda hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pasukan keluaran operasi kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkannya kepada pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya.
”Mangsa mengalami kecederaan luka terbuka di bahagian muka dan kaki kanan, patah kaki dan patah tangan sebelah kiri,” ujarnya.
Sementara itu, mangsa yang mengalami cedera ringan telah dihantar oleh orang awam ke hospital sebelum ketibaan pihak bomba.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.42 petang setelah pasukan keluaran operasi memastikan keadaan kembali selamat.