BINTANGOR: Pemerkasaan wanita melalui ilmu, kemahiran dan keusahawanan mampu memperkukuh kedudukan mereka dalam ekonomi, sekali gus memberi impak positif terhadap kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, tema Program Hari Wanita Tahun 2026, ‘Kesaksamaan Gender Penggerak Ekonomi’, bertepatan dengan usaha memperluas peranan dan penglibatan wanita dalam pelbagai bidang.
“Tema ‘Kesaksamaan Gender Penggerak Ekonomi’ amat bertepatan dengan usaha kita untuk memperkasakan wanita dalam keluarga, masyarakat dan bidang ekonomi.
“Wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam keluarga, malah turut menyumbang dalam bidang pekerjaan, perniagaan dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pembangunan Komuniti – Program Hari Wanita Tahun 2026 anjuran Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), di Dewan Masyarakat Bintangor, baru-baru ini.
Katanya, penganjuran program tersebut menyediakan ruang kepada wanita untuk meningkatkan pengetahuan, mempelajari kemahiran baharu serta membina keyakinan dalam mengembangkan potensi diri.
“Program ini memberi peluang kepada wanita untuk mendapatkan ilmu, kemahiran dan keyakinan diri.
“Aktiviti seperti forum, demonstrasi pembuatan sabun dan Pertandingan Iron Lady Chef juga dapat membuka ruang kepada peserta untuk mempelajari kemahiran baharu serta meneroka potensi diri,” katanya.
Tambahnya, usaha memperkasakan wanita tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada keluarga, komuniti dan kerajaan.
“Saya berharap usaha memperkasakan wanita akan terus mendapat sokongan daripada keluarga, komuniti dan kerajaan kerana wanita yang berdaya maju turut menyumbang kepada keluarga dan ekonomi masyarakat yang lebih kukuh,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MDMJ dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan sebagai antara usaha pembangunan komuniti di Meradong
“Tahniah kepada MDMJ dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Semoga program ini memberi manfaat dan menjadi platform untuk terus memperkasakan wanita di kawasan Meradong,” katanya.
Turut hadir isteri beliau, Datin Kueh Nai Fun; Setiausaha MDMJ, Lau Chi Sing; Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Bintangor, Dr Wong Wei Wei dan Pemanca Rapen Anga.
Oleh Earl Anek





