
KUCHING: Seorang wanita berusia 90 tahun meninggal dunia selepas terperangkap di sebuah bilik di Flat Betong KMC, Jalan Central Timur, di sini, malam ini.
Maklumat awal daripada pemanggil menyatakan mangsa berada di dalam rumah yang tidak dapat dibuka dari luar.
Pasukan Bomba dan Penyelamat dari BBP Padungan tiba di lokasi 9.10 malam dan berjaya membuka pintu bilik berkenaan.
Pegawai Bomba Kanan I Law Khim Hin, komander operasi berkata, pihak bomba mendapati mangsa tidak sedarkan diri setelah pintu dibuka.
“Mangsa seorang wanita warga emas dan keadaan bilik tidak membenarkan sebarang pergerakan keluar sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setelah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Oleh Adele Rissa