Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Wanita 47 tahun rugi RM1.54 juta ditipu individu menyamar pegawai polis
  • JENAYAH

Wanita 47 tahun rugi RM1.54 juta ditipu individu menyamar pegawai polis

Utusan Sarawak 7 hours ago
GAMBAR hiasan,

KUCHING: Seorang wanita tempatan berusia 47 tahun mengalami kerugian sebanyak RM1,547,727 selepas menjadi mangsa penipuan telefon melibatkan individu yang menyamar sebagai pegawai polis, kata Ketua Polis Kuching, ACP Alexson Naga Chabu.

Menurut ACP Alexson, kejadian berlaku pada 23 Disember tahun lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon di rumahnya daripada seorang individu yang mendakwa dirinya pegawai dari Bukit Aman. Pemanggil itu memberitahu bahawa nombor telefon mangsa telah digunakan dalam aktiviti penipuan.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa dari IPD Kajang, yang memaklumkan mangsa bahawa dia kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram,” katanya.

Beliau berkata mangsa seterusnya dihubungi oleh beberapa individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai mahkamah, yang meyakinkan mangsa bahawa namanya terlibat dalam satu kes jenayah serius.

“Suspek telah memperdaya dan memberi tekanan kepada mangsa untuk mempercayai bahawa dia perlu memberi kerjasama sepenuhnya. Mangsa diarahkan untuk membuat 18 transaksi pemindahan wang ke tujuh akaun bank berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM1,547,727,” katanya.

Alexson berkata mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu pada 1 Februari 2026 selepas mendapati semua perbualan WhatsApp dengan suspek telah dipadamkan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan curang mendorong penyerahan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Alexson menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak panik apabila menerima panggilan yang mencurigakan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya segera menamatkan panggilan yang meragukan, tidak sesekali berkongsi maklumat peribadi atau perbankan dengan pemanggil tidak dikenali, dan menghubungi balai polis berhampiran untuk mengesahkan sebarang dakwaan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon yang mencurigakan melalui portal rasmi PDRM Semak Mule.

Oleh Connie Chieng

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Tuntutan palsu tiket penerbangan RM1.3 juta: Empat pegawai badan berkanun ditahan
Next: RM5.25 juta daging sejuk beku haram dirampas di Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.