
SARATOK: Seorang wanita berusia 41 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah dan Operasi Tapis Khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata suspek ditahan oleh sepasukan anggota Task Force Op Tapis hasil maklumat awam semasa rondaan di Kampung Melango Baru, Saratok.
“Hasil pemeriksaan dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati wanita berkenaan positif bahan terlarang jenis amphetamine/methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek yang berasal dari Lundu itu, tidak mempunyai rekod kes lampau dan kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi yang dijalankan dari 8.00 malam hingga 11.59 malam itu melibatkan kekuatan 20 anggota, termasuk pegawai daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) serta pasukan Task Force Op Tapis.
Selain tangkapan tersebut, dua motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan tiada lesen memandu dan ubah suai kenderaan.


Dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan tujuh saman trafik melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu (dua saman), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (satu saman) dan tidak memakai topi keledar (empat saman).
Menurut Mathew, operasi bersepadu ini bertujuan menurunkan kadar jenayah di kawasan tumpuan (hotspot), membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah, serta meningkatkan kehadiran polis di lapangan (omnipresence).
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan operasi sebegini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Saratok sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman