
LUNDU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan remaja lelaki bawah 19 tahun serta kes kanser serviks yang semakin meningkat di negara ini.
Beliau berkata, langkah intervensi perlu diperhebat bagi menggalakkan golongan terbabit mendapatkan suntikan pencegahan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menganjurkan program untuk mengenal pasti kes-kes tersebut. Dari pihak kita pula, tumpuan lebih kepada virus papilloma manusia (HPV), kanser serviks serta mammogram, malah kita sudah minta supaya ditambah peruntukan bagi membolehkan bas bergerak turun ke kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Negeri di Dewan Putra, Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi, di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan awal amat penting kerana kanser serviks masih boleh dirawat jika dikesan lebih awal. Beliau turut menggesa wanita berumur 35 hingga 65 tahun, khususnya yang masih aktif secara seksual, supaya mengambil peluang menyertai program pemeriksaan kesihatan yang dijalankan kementeriannya.
Untuk rekod, seramai 45,313 wanita di seluruh Sarawak telah menjalani ujian saringan HPV DNA bagi mengesan kanser pangkal rahim dari 2019 hingga 2024, menurut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Nancy berkata program pemeriksaan kendiri menggunakan kit khas yang diperkenalkan sejak akhir 2023 juga dilihat mampu memperluaskan capaian kesedaran, khususnya di kawasan bandar dan luar bandar.
“Kita mahu lebih ramai wanita menjalani ujian ini, kerana apabila dikesan dari awal, ia boleh dirawat dan disembuhkan,” jelasnya.
Oleh Shahrul Qaizat