Wang RM8 juta daripada FashionValet masuk akaun syarikat 30 Maple – Saksi 

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa sejumlah RM8 juta dimasukkan ke dalam akaun bank syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. menerusi dua transaksi daripada akaun FashionValet Sdn. Bhd. pada 21 Ogos 2018.

Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr Ismail, Azizan Hassan, 45, berkata semakan terhadap penyata akaun bank milik 30 Maple mendapati wang berjumlah RM5 juta dan RM3 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat itu secara dalam talian daripada akaun FashionValet.

“Pada 21 Ogos 2018, terdapat satu transaksi kemasukan wang berjumlah RM5 juta dengan deskripsi ‘Kiriman wang masuk (Remittance) / Bayaran PB ECP daripada FashionValet Sdn. Bhd. – Pendahuluan kepada 30 Maple’. Saya mengesahkan transaksi itu dibuat daripada akaun FashionValet Sdn. Bhd. Baki akaun 30 Maple sebelum kemasukan wang tersebut ialah RM2,678,853.48.

“Pada tarikh sama, satu lagi transaksi kemasukan wang berjumlah RM3 juta dengan deskripsi yang sama turut direkodkan daripada akaun FashionValet. Saya juga mengesahkan baki akaun sebelum transaksi itu ialah RM7,678,853.48,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof, dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, yang berdepan pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Saksi pendakwaan pertama itu turut berkata semakan terhadap penyata akaun bank 30 Maple bagi September 2018 mendapati terdapat transaksi pengeluaran wang berjumlah RM10,213,537.28 pada 3 September 2018.

“Pada tarikh yang sama, terdapat transaksi kemasukan wang sebanyak RM5 juta, manakala pada 4 September 2018 berlaku transaksi pengeluaran RM5 juta dengan deskripsi ‘Interim Dividend FADZARUDIN SHAH’,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah.

Azizan turut mengesahkan bahawa Vivy dan Fadzarudin Shah ialah penandatangan akaun bagi pihak 30 Maple selaku pengarah syarikat berkenaan.

Terdahulu, peguam Datuk M. Athimulan yang mewakili pasangan suami isteri itu memaklumkan kepada Hakim Rosli Ahmad bahawa beliau memohon untuk menyoal balas saksi berkenaan pada Jumaat ini kerana masih bercuti sakit sehingga Rabu. Mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Vivy, atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa dengan niat bersama, sebagai pengarah FashionValet Sdn. Bhd., melakukan pecah amanah terhadap dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta dengan membuat pembayaran daripada akaun bank FashionValet kepada 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FashionValet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara, Bukit Damansara, di sini pada 21 Ogos 2018 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan sehingga 20 tahun, disebat serta dikenakan denda.

Mereka turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan, iaitu dengan niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik FashionValet berupa dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta di lokasi dan pada tarikh yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan sehingga lima tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – Bernama