
MIRI: Seorang pesara swasta wanita berusia 64 tahun terpaksa menanggung kerugian besar apabila wang simpanan serta pinjaman ahli keluarganya berjumlah lebih RM330,000 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam).
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 11 September memperkenalkan diri kononnya pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Putrajaya.
“Mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu yang mendakwa pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perlis, sebelum dimaklumkan kononnya terbabit dalam sindiket penipuan.
“Bagi tujuan siasatan, mangsa diarahkan memindahkan semua wang simpanan ke akaun bank diberikan suspek dengan alasan sebagai pengesahan harta dan jaminan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Farhan berkata, mangsa yang panik akhirnya membuat beberapa transaksi melalui kaunter bank dengan jumlah keseluruhan RM334,964.90, sebelum menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan lanjut.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Oleh Liong Chai Ling