KUCHING: Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar masih diperlukan untuk membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) walaupun berundur sebagai Ahli Parlimen.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Wan Junaidi mempunyai pengalaman dan khidmatnya masih diperlukan untuk membantu negeri ini.
“Seperti industri perdagangan karbon, ia melibatkan undang-undang antarabangsa.
“Jadi saya perlukan Wan Junaidi, melalui pengalamannya, untuk memberi input kepada kami,” katanya pada sidang media selepas Program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanade Telaga Air, di sini hari ini.
Abang Johari berkata penglibatan Wan Junaidi yang mempunyai pengalaman dalam bidang antarabangsa terutama bidang alam sekitar ketika menerajui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta kepakaran dalam perundangan.
“Malah saya telah bercakap dengannya. Saya bertanya kepadanya, Wan, boleh awak tolong saya? Ini kerana ekonomi kita berasaskan ekonomi baharu, dan ia melibatkan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Wan Junaidi memilih untuk bersara ketika berada di kemuncak kejayaan sebagai Ahli Parlimen dan Menteri dalam Kabinet Persekutuan, dengan melepaskan kerusi Parlimen Santubong kepada Dato Sri Nancy Shukri.
Jawatan terakhir dalam Kabinet ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Beliau antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Sarawak, iaitu selama 32 tahun sejak 1990 dengan bermula sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar.
Wan Junaidi kemudian bertukar kawasan dengan Datuk Seri Rohani Abdul Karim ke Parlimen Santubong pada 2004.
Oleh AZREEN KERIA