
PETALING JAYA: Walaupun sebahagian besar zaman kanak-kanak dan remajanya dihabiskan di gelanggang silat, Beto Kusyairy tidak berkeyakinan dapat membawakan watak sebagai mahaguru silat gayung menerusi filem Gayong.
Lebih mesra disapa sebagai Beto, pelakon berusia 45 tahun itu mengakui berasa gusar ketika mula-mula ditawarkan watak Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Uda Mohd Hashim, mahaguru silat gayung terkenal di negara ini.
“Sejujurnya, apabila ditawarkan watak Meor, saya sangat-sangat gusar. Saya takut tidak mampu menghidupkan watak pengasas seni silat itu walaupun saya sendiri anak Gayong (Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia).
“Akan tetapi, selepas mendengar perancangan pengarahnya, Faisal Ishak serta diberitahu barisan pelakon dan skripnya, saya tahu ini bukan sekadar filem. Jadi, saya tidak ada sebab untuk menolaknya,” katanya pada sidang media tayangan perdana filem Gayong baru-baru ini.
Filem aksi epik Gayong bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai Khamis ini.
Filem terbitan Sol Pictures Sdn Bhd tersebut diinspirasikan daripada kisah benar perjalanan hidup pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Meor Abdul Rahman yang bukan sahaja mempertahankan maruah bangsa di gelanggang silat tetapi turut bangkit sebagai pejuang tanah air menentang penjajah.
Selain Beto, pelakon utama lain yang turut menjayakan filem itu termasuk Nabila Huda sebagai Che Som, Syafie Naswip sebagai Mat, Yayan Ruhian sebagai Wak Kusang.
Beto berkata beliau belajar seni silat tersebut seawal usia tujuh tahun dan hingga kini masih mempunyai hubungan baik dengan keluarga serta waris Gayong.
Menyedari beban besar membawakan watak pendekar silat legenda, Beto membuat persiapan rapi dan melangkaui skrip semata-mata demi memahami secara mendalam siapa sebenarnya pengasas silat seni gayung itu.
“Antaranya saya berjumpa dengan guru-guru lama yang pernah berguru sendiri dengan Datuk Meor. Saya bertemu Abdul Majid Md Isa, atau dikenali sebagai Pandak Majid di Gurun, Kedah, juga Cikgu Awang Daud yang turut berada di sana, selain berpeluang bertemu dengan Cikgu Sazali, anak Allahyarham sendiri.
“Saya tidak cuba meniru secara sehabis baik watak Datuk Meor, kerana itu mustahil. Sebaliknya, saya mengambil pendekatan untuk menginterpretasi watak ini berdasarkan skrip dengan niat utama menyampaikan semangat perjuangan dan keperibadian Datuk Meor, itu yang lebih penting,” katanya.
Sementara itu, Faisal mengakui sukar untuk menghasilkan sebuah cerita yang menggabungkan biografi tokoh persilatan dengan fiksyen dramatik berpaksikan fakta sejarah.
Katanya cabaran dihadapi bukan sekadar aspek teknikal dan produksi, tetapi lebih kepada memastikan ketulenan serta penghormatan terhadap warisan tokoh berkenaan.
“Kami ambil pendekatan ‘historical epic’. Jalan cerita diolah supaya dramatik, tapi latar masa dan peristiwa penting seperti Datuk Meor bekerja di Gilman Barracks, berpindah ke Singapura dan Pulau Sudong, semuanya benar.
“Begitu juga dengan pemilihan pelakon asing yang dilakukan secara teliti. Watak antagonis dari Thailand dilakonkan oleh ahli Muay Thai tulen dan watak Yamada dari Jepun pula dibawakan oleh pelakon Jepun sebenar,” katanya.
Bagi memastikan filem Gayong lebih mantap, Faisal berkata setiap pelakon telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan pengarah aksi iaitu Yayan Ruhian yang merupakan artis seni bela diri dan pelakon dari Indonesia serta jurulatih seni gayong yang berpengalaman.
“Latihan yang dibuat bukan sekadar mengajar mereka pergerakan asas, tetapi juga membantu pelakon memahami disiplin, struktur gerakan serta semangat yang terkandung dalam setiap jurus dan langkah gayung,” katanya.
Dalam pada itu, penerbit eksekutif Khairul Anuar Latip mendedahkan penggambaran Gayong 2 telahpun selesai, namun mereka akan menumpukan sepenuh usaha pada filem pertama terlebih dahulu.
“Filem itu masih dalam proses pascaproduksi. Sekarang, kita fokus dan mohon semua bantu beri sokongan untuk Gayong supaya kita dapat teruskan kesinambungan legasi ini dengan lebih hebat,” katanya.– Bernama