
DHAKA: Kerajaan Bangladesh memutuskan untuk mengurangkan waktu pejabat dan melaksanakan beberapa langkah penjimatan bagi menangani krisis tenaga global yang sedang berlaku, yang dicetuskan oleh ketidakstabilan di Asia Barat.
Menurut United News of Bangladesh (UNB), keputusan itu diambil pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Tarique Rahman pada Khamis malam. Setiausaha Kabinet Nasimul Ghani mengumumkan keputusan itu pada taklimat selepas mesyuarat.
Di bawah susunan baharu, semua pejabat kerajaan dan swasta akan beroperasi dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang mulai Ahad, berbanding jadual sedia ada.
Waktu operasi bank pula ditetapkan dari 9.00 pagi hingga 3.00 petang, manakala bank akan ditutup sepenuhnya pada 4.00 petang.
Dalam taklimat kepada wartawan selepas mesyuarat, Nasimul berkata, perbincangan tertumpu kepada langkah menangani ketidaktentuan harga bahan api dan tenaga akibat gangguan rantaian bekalan global susulan perang di Asia Barat.
“Semua pejabat mengurangkan waktu bekerja selama sejam. Kedua-dua pejabat awam dan swasta akan beroperasi dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan tenaga, semua kedai, pasar dan pusat membeli-belah diwajibkan ditutup pada 6.00 petang, kecuali hotel, farmasi, kedai perkhidmatan penting dan pasar.
Beliau juga berkata, arahan khusus berkaitan institusi pendidikan akan dikeluarkan mulai Ahad, mengambil kira pelbagai faktor.
Nasimul berkata kerajaan akan melaksanakan langkah penjimatan selama tiga bulan bagi mengurangkan perbelanjaan awam.
“Tiada pembelian kenderaan baharu, kapal, pesawat atau peralatan komputer akan dilakukan dalam tempoh ini,” katanya.
Nasimul berkata program latihan dalaman akan dikurangkan sebanyak 50 peratus, manakala semua latihan luar negara yang dibiayai kerajaan akan digantung sehingga notis baharu dikeluarkan.
Perbelanjaan bagi mesyuarat dan seminar juga akan dikurangkan sebanyak 50 peratus.
Kerajaan akan mengurangkan penggunaan bahan api, elektrik dan gas sebanyak 30 peratus, manakala perbelanjaan perjalanan yang tidak perlu juga dikurangkan sebanyak 30 peratus.
Selain itu, beliau berkata penggunaan lampu hiasan pada majlis sosial termasuk perkahwinan dilarang sebagai sebahagian daripada kempen penjimatan tenaga.
Beliau berkata usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan import bahan api dari sumber alternatif bagi memastikan bekalan stabil. “Inisiatif diambil untuk mengimport bahan api dari Malaysia, Indonesia dan Kazakhstan.”
Selain itu, kerajaan turut merangka pelan untuk memperkenalkan bas elektrik bagi pelajar sekolah sebagai ganti kenderaan persendirian. “Institusi pendidikan yang menyertai inisiatif ini boleh mengimport bas tanpa duti. Sektor swasta juga akan mendapat kemudahan ini, walaupun duti 20 peratus akan dikenakan bagi kes komersial.”
Bagaimanapun, Nasimul berkata hanya bas baharu dibenarkan diimport, manakala bas terpakai tidak dibenarkan.
Mesyuarat Kabinet bermula sekitar 8:45 malam di Bilik Kabinet Kompleks Jatiya Sangsad dan berakhir sekitar 11:30 malam.
Mesyuarat Kabinet biasanya diadakan di Sekretariat pada Khamis, tetapi lokasi dipindahkan ke kompleks Parlimen berikutan sesi Parlimen yang sedang berlangsung. – Bernama