
KRIAN: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa menekankan pendekatan turun padang bagi memastikan suara rakyat di peringkat akar umbi sentiasa didengar dan diberi perhatian sewajarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata amalan turun padang ini merupakan budaya kerja GPS yang mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui interaksi langsung dengan komuniti setempat.
“Peluang untuk bersua muka dan mendengar rungutan penduduk amat penting kerana inilah cara terbaik untuk memahami keadaan sebenar di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan ke Rumah Henry Jantai di Lubok Bangas, Maras, Ulu Krian, semalam.

Lawatan tersebut memberi peluang kepada beliau untuk mendengar sendiri pandangan dan keperluan penduduk rumah panjang berkenaan.
Friday menzahirkan rasa puas hati dengan sambutan mesra daripada penduduk serta keterbukaan mereka dalam menyuarakan isu dan keperluan komuniti.
Katanya, kehadiran wakil rakyat bukan sekadar lawatan, tetapi tanda komitmen GPS untuk terus memperkukuh hubungan dengan rakyat.
Dalam majlis berkenaan, Friday turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi tujuan menggantikan bumbung rumah panjang yang telah uzur, demi keselesaan dan keselamatan penduduk.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan GPS akan terus komited membantu masyarakat luar bandar melalui pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur, kesejahteraan sosial dan peningkatan taraf hidup rakyat di seluruh kawasan Krian.
Oleh Adi Safarman