SIBU: Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa dalam keadaan siap siaga hadapi pilihan raya kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad.
Katanya, wakil rakyat GPS sentiasa turun padang bukan sahaja menyantuni rakyat malah memastikan semua projek pembangunan demi kesejahteraaan dan kemajuan rakyat berjalan dengan lancar.
“Kita sedia maklum bahawa tempoh DUN sekarang akan berakhir pada Mei tahun hadapan. Ini bermakna PRN (Pilihan raya Negeri) boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Sebagai seorang presiden parti dan Ketua Menteri, Abang Johari sememangnya sentiasa mengingatkan dan menasihati para wakil rakyat supaya sentiasa menjalankan amanah sebagai wakil rakyat dengan baik,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakan seperjuangan dalam GPS khususnya PBB memperkuatkan jentera parti dan saling berkerjasama.
“Jangan ada yang leka dan merasa dalam zon selesa kerana pilihan raya perlu diambil perhatian yang serius,” katanya.
Beliau juga berkata, pilihan raya bukan suatu isu kerana tanggungjawab terhadap rakyat telah dilaksana sepanjang masa dan seluruh jentera parti sentiasa aktif dan bersedia bila-bila masa.
“Cuma, bila tibanya pilihan raya apa yang perlu dipertingkatkan ialah “House Keeping”.
“Ini dengan memastikan jentera parti khususnya PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) di peringkat cawangan dikemas kini serta dalam keadaan siap siaga sepanjang masa,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad