KUCHING: Festival WAK terus berkembang sebagai antara platform penting industri kreatif Sarawak apabila jumlah kunjungannya meningkat hampir 10 kali ganda sejak diperkenalkan pada 2017.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, WAK merekodkan kira-kira 690,000 kunjungan pada tahun lalu, dengan keseluruhan impak ekonomi dianggarkan mencecah RM67 juta.
Menurutnya, perkembangan itu membuktikan penganjuran festival seni, budaya dan gaya hidup mampu memberi sumbangan besar bukan sahaja kepada industri kreatif, malah sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
“Daripada ketika ia mula diperkenalkan pada 2017 sehingga kini, jumlahnya telah meningkat hampir 10 kali ganda. Ini menunjukkan bahawa WAK mempunyai potensi yang besar,” katanya pada majlis pendedahan Kalendar Festival WAK 2026 di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, manfaat WAK turut dirasai oleh pelbagai sektor apabila pengunjung yang datang ke Kuching sepanjang festival berbelanja untuk penginapan, makanan, pengangkutan, kraftangan serta pelbagai produk dan perkhidmatan tempatan.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung mewujudkan kesan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Apabila pengunjung datang, mereka akan menginap di hotel, mencuba makanan kita dan membeli kraftangan untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.
“Semua ini membantu industri kreatif dan pada masa sama menyumbang kepada ekonomi Sarawak,” katanya.
Menurutnya, WAK juga telah berkembang melangkaui Kuching menerusi penganjuran edisi di Sibu dan Miri, sekali gus memperluas jaringan komuniti kreatif di seluruh negeri.
Katanya, perkembangan itu selari dengan aspirasi untuk menjadikan WAK sebagai festival serantau yang mampu menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Ini bukan lagi hanya mengenai Kuching. Kita sudah melihat perkembangan WAK di Sibu dan Miri yang menghubungkan komuniti kreatif di selatan, tengah dan utara Sarawak,” katanya.
Sementara itu, WAK Festival 2026 akan berlangsung selama 31 hari dari 1 hingga 31 Oktober, dengan menampilkan 83 acara unik, 440 pengulangan acara harian, 49 kolaborator, 62 lokasi dan 14 genre.
Edisi kelapan itu membawa tema ‘SHOOTS’, yang menggambarkan pertumbuhan idea baharu, kemunculan bakat muda, kerjasama kreatif serta perkembangan komuniti seni dan budaya.
Abdul Karim berkata, WAK kini bukan lagi sekadar sebuah festival, sebaliknya berkembang menjadi platform yang memberi ruang kepada penggiat seni, pemuzik, pelakon, pengusaha makanan, penggiat budaya, usahawan dan golongan muda untuk mengetengahkan bakat serta hasil kreativiti mereka.
Katanya, pelaburan dalam komuniti kreatif juga merupakan pelaburan dalam sektor pelancongan, hospitaliti, ekonomi dan identiti Sarawak.
“Kita percaya bahawa apabila kita melabur dalam komuniti kreatif, kita juga melabur dalam pelancongan, industri hospitaliti, ekonomi, masyarakat dan identiti Sarawak,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat tempatan supaya mengambil peluang menyertai dan menyokong pelbagai acara WAK sepanjang Oktober, selain menggalakkan pengunjung dari luar Sarawak merancang perjalanan mereka bersempena festival berkenaan.
Oleh Shikin Mahmud




