KUCHING: Perjuangan Kerajaan Negeri untuk memperjuangkan hak Sarawak bukannya tugas yang mudah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ia memerlukan kegigihan, penelitian, penyelidikan dan keberanian.
“Laungan retorik tidak akan dapat menjanjikan kejayaan. Lihat sahaja 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, retorik-retorik dilaungkan oleh PH Sarawak ketika itu tetapi langsung tidak membawa apa-apa perubahan positif ke arah perjuangan hak Sarawak.
“Pelbagai kecaman kita terima dari pihak pembangkang ketika itu. Mereka mengatakan ianya satu pembaziran, merupakan sandiwara sahaja, mendakwa kita bermain dengan sentimen anti Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan menyokong Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Fazzruddin berkata, hanya parti Sarawak sahaja yang faham keperluan rakyat Sarawak.
“Ini terbukti dengan sokongan yang padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-14 yang lepas.
“GPS juga sedar bahawa ini adalah pengharapan yang tinggi dari rakyat Sarawak dan ianya akan menjadi suntikan semangat untuk GPS bekerja dengan lebih kuat lagi memperjuangkan hak kita,” ujarnya.
Tambahnya, Perenggan ke 34 laporan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) mengatakan adalah mandatori Sarawak dan Sabah mempunyai wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Bagaimanapun, sehingga ke hari ini tiada wakil pun dari Sabah dan Sarawak.
“Sudah tiba masanya untuk kita mempunyai wakil dalam LHDN agar kita tahu berapakah sebenarnya pendapatan Negara dan barulah kita dapat mengolah formula untuk pembahagian pendapatan tersebut berdasarkan semangat pembentukan Malaysia,” ujarnya.
Mengenai gelaran ‘Premier’, katanya, ia selaras dengan pindaan perlembagaan di mana perlu ada perbezaan antara Ketua Menteri Melaka dan Pulau Pinang dan Ketua Menteri Sarawak.
“Gelaran ini bukannya untuk individu tetapi untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya. Premier of Sarawak atau Menteri Perdana Sarawak amatlah sesuai sekali.
“Oleh itu, wajarlah kita mulakan (pembezaan) dengan tajuk jawatan itu sendiri, itu langkah pertama yang kita bincangkan ketika ini,” jelasnya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO