
SELANGAU: Bengkel Ngerembai Ke Pantun Iban 2025 yang berlangsung di Rumah Panjang Tuai Rumah Rantai, Luyang Baru, Skim Sekuau, baru-baru ini menjadi wadah memperkukuh budaya dan memperkasa identiti masyarakat Dayak.
Program dua hari anjuran Persatuan Bakat Dayak Sarawak Sarikei dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak (MSS) itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang.
Gira dalam ucapannya memuji usaha penganjur dan komuniti rumah panjang dalam memelihara warisan budaya melalui penghayatan pantun Iban, disifatkan sebagai cerminan kecerdasan budaya serta nilai masyarakat tempatan.
“Pantun Iban bukan sekadar puisi tradisi, ia menyemai cinta terhadap warisan dan memperkukuh identiti Dayak yang unggul,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan untuk terus menyokong inisiatif seni dan kebudayaan yang mampu mendidik, menyatu serta memperkasa komuniti luar bandar.
Bengkel itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik dan seni pantun Iban yang sarat dengan sindiran halus, nasihat dan nilai kehidupan, selain diselitkan dengan sesi pengajaran pantun, persembahan spontan, permainan tradisional dan aktiviti bergendang pampat.
Lebih 150 peserta pelbagai peringkat usia menghadiri program berkenaan, menandakan minat dan semangat yang tinggi dalam melestarikan sastera lisan warisan nenek moyang.
Turut hadir Pengerusi Penganjuran Bengkel, Asat Nawin; Pengasas MO Studio, Augustine Das Basih; Penghulu Ngalai Asom; Penghulu Bansa Kunchau dan beberapa tetamu jemputan lain.
Oleh Tarani Lanting