KUCHING: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) akan menyelaraskan tindakan untuk menwujudkan kesedaran menerusi pendidikan dan inovasi teknologi terkini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap koperasi di dalam negara menjadikannya satu wadah perjuangan untuk bersatu meningkat dan membangunkan sosio-ekonomi.
“Ia secara bersama dengan mengamalkan prinsip-prinsip dan amalan berkoperasi bagi mencapai kemakmuran bersama.
“Selaras dengan tema Hari Koperasi Antarabangsa tahun 2020 iaitu ‘Co-operative For Climate Action’ saya menyeru gerakan koperasi bersama-sama menyahut cabaran untuk membangunkan ekonomi tanpa melupakan perlindungan terhadap persekitaran dengan meningkatkan penggunaan teknologi hijau,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Ujarnya, beliau amat yakin gerakan koperasi di Malaysia mampu untuk membuat perubahan terhadap iklim ekonomi dalam negara dengan keanggotaan seramai 6.09 juta dan mempunyai 14,625 buah koperasi di Malaysia.
“Hari ini merupakan hari bersejarah buat Gerakan Koperasi di seluruh dunia dan telah diisytiharkan oleh International Co-operative Alliance (ICA), sebagai Hari Koperasi Peringkat Antarabangsa dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations).
“Bersempena Hari Koperasi Peringkat Antarabangsa ini, saya ingin mengucapkan Selamat menyambut Hari Koperasi Antarabangsa buat seluruh rakyat dan anggota koperasi di Malaysia serta di seluruh seluruh dunia.
“Ancaman wabak Covid-19 telah memberikan kesan terhadap ekonomi negara dan masyarakat usahawan khususnya,” jelasnya. Tambahnya, menyedari kepentingan bersama untuk bertindak segera memerangi perubahan iklim ekonomi yang masih suram, saya berharap dengan tema ‘Co-operative For Climate Action’ dapat menyatukan seluruh masyarakat koperasi.
Oleh Zarina Abdullah