SEJAK 1980-an selepas pertumbuhan ekonomi dunia dan berlakunya pembangunan di merata tempat di seluruh dunia, konsep pembangunan mulai diberikan penilaian yang kritis. Di sinilah munculnya wacana ‘pasca-pembangunan’ apabila tidak semua pembangunan tersebut berjaya dilaksanakan secara menyeluruh. Terdapat beberapa hambatan seperti pendekatan yang digunakan kurang sesuai, gagal malah kurang mendapat tempat kalangan masyarakat.
Kemunculan teori kritis ini mencabar model pembangunan barat mengenai konsep kemajuan, modenisme, dan pertumbuhan ekonomi. Timbulnya wacana ini sebagai reaksi terhadap kelemahan dan kegagalan inisiatif pembangunan di negara selatan dunia yang masih lagi kurang dapat dibangunkan dengan lebih pesat. Intipati idea ini mengungkapkan bahawa pembangunan bukanlah proses yang neutral dan objektif, tetapi suatu projek bersejarah dan budaya khusus diketuai hubungan kekuasaan yang tidak sama dan menghakis autonomi dan tindakan ini menyebabkan masyarakat menjadi terpinggir.
Atas nama pembangunan bermodelkan model pembangunan barat terhadap negara membangun atau negara selatan yang sebenarnya membawa kepada imperialisme budaya. Berlakunya juga kegagalan untuk memenuhi janjinya tentang pengurangan kemiskinan, hak asasi manusia, dan kelestarian alam sekitar.
Oleh itu, terdapat pendekatan alternatif dikemukakan bagi menangani hegemoni ekonomi negara maju. Ini termasuklah mendesak agar pembangunan dapat melimpah dan memanfaatkan kearifan tempatan, kepelbagaian budaya, dan keadilan sosial. Pembangunan juga harus berdasarkan inisiatif yang dipimpin oleh komuniti yang menghormati dan menghargai amalan, kepercayaan, dan sumber tempatan.
Justeru, perlu ada usaha untuk menilai semula hubungan dengan kuasa negara maju, lebih berhati-hati dengan model pembangunan barat yang boleh mengakibatkan komuniti tempatan terpinggir.
Kritikan Terhadap Model Barat
Definisi sempit mengenai pertumbuhan ekonomi berdasarkan model barat dianggap telah mengabaikan kos sosial dan alam sekitar, sedangkan pembangunan tidak sepatutnya dilihat sebagai laluan linear ke arah pertumbuhan ekonomi, tetapi sebagai proses dinamik yang tertanam dalam konteks budaya dan sosial.
Gagasan kononnya pembangunan adalah projek universal yang boleh diterapkan secara seragam dalam semua konteks juga dikritik. Hal ini kerana sesebuah pembangunan sepatutnya sesuatu yang spesifik kepada konteks, dan berdasarkan pengetahuan tempatan dan amalan budaya. Jika ini dibiarkan ia akan menyebabkan ketidakseimbangan kuasa dan ketidakadilan sosial, termasuk gender, kelas dan etnik.
Teori pascapembangunan memberikan impak signifikan terhadap pemikiran dan amalan pembangunan, terutamanya di negara-negara Selatan. Ia telah mempengaruhi munculnya pendekatan pembangunan alternatif, seperti ecofeminisme, pembangunan penyertaan, dan pascakolonialisme dan sebagainya. Maka ini telah menghasilkan semula kajian kritis terhadap dasar dan amalan pembangunan, dan telah menyumbang kepada peningkatan gerakan sosial yang menuntut keadilan sosial, kelestarian alam sekitar, dan kepelbagaian budaya.
Hubungan kuasa dan nilai sosial
Satu lagi prinsip penting dalam teori ini adalah penolakan idea bahawa pembangunan adalah masalah teknikal yang boleh diselesaikan oleh pakar dan teknologi. Aspek tersebut tidaklah tepat kerana pembangunan sewajarnya dilihat sebagai proses politik yang dipengaruhi oleh hubungan kuasa dan nilai sosial.
Oleh itu, pendekatan pembangunan perlulah lebih demokratik dan berpenyertaan yang melibatkan komuniti tempatan dalam membuat keputusan dan pelaksanaannya. Idea pasca pembangunan ini telah memberikan sumbangan kepada kritikan terhadap neoliberalisme, yang dianggap sebagai ideologi dominan yang mendasari model pembangunan Barat.
Neoliberalisme menekankan pasaran bebas, pengasingan dan deregulasi, dan sering dikaitkan dengan langkah kemelesetan ekonomi, ketidaksamaan sosial, dan penyusutan alam sekitar. Ternyata menurut pemahaman ini neoliberalisme telah memperburukkan masalah kemiskinan, ketidakadilan sosial, dan pencemaran alam sekitar, dan telah menyebabkan pengasingan komuniti paling terpinggir di selatan global atau negara kurang maju.
Kearifan Tempatan
Teori pasca pembangunan juga menekankan kepentingan mengiktiraf dan menghargai bentuk-bentuk pengetahuan dan amalan alternatif yang wujud di luar model pembangunan Barat. Ini termasuk pengetahuan tempatan, amalan lokal, dan pengetahuan ekologi tradisional, antara lain. Teori pasca-pembangunan berpendapat bahawa bentuk pengetahuan ini boleh menyumbang kepada pendekatan pembangunan yang lebih lestari dan spesifik kepada konteks.
Teori pasca pembangunan juga mengakui pentingnya kelestarian sosial dan alam sekitar dalam pembangunan. Ia mengkritik model pembangunan konvensional yang memfokuskan pada pertumbuhan ekonomi atas kos kebajikan sosial dan alam sekitar.
Para teoris pasca-pembangunan berpendapat bahawa pembangunan lestari memerlukan pendekatan holistik yang mengambil kira hubungan timbal balik antara faktor sosial, ekonomi, dan alam sekitar.
Pelopor Pasca Pembangunan
Arturo Escobar ialah ahli antropologi Columbia pendukung teras wacana pasca pembangunan ini yang menggunakan kes kajian di kawasan negaranya di Columbia bagi membuat penilaian pembangunan yang menurutnya idea pembangunan dikemukakan adalah acuan barat yang merupakan suatu pendekatan teknokratik yang diubahsuai oleh Bank Dunia, negara kaya selepas perang dunia kedua.
Dalam bukunya berjudul “Encountering Development: The Making and Unmaking of the Third World” (1995) Escobar berpendapat bahawa pembangunan adalah sebuah wacana konstruksi yang mencerminkan idea barat mengenai kemajuan dan pemodenan, dan telah dipaksakan ke atas Selatan global melalui proses imperialisme budaya.
Dalam bukunya “Designs for the Pluriverse: Radical Interdependence, Autonomy, and the Making of Worlds” (2018), beliau mencadangkan perlu ada imaginasi semula aspek pembangunan yang radikal yang berdasarkan prinsip keterbergantungan radikal, autonomi, dan kepelbagaian.
Sepatutnya menurutnya pembangunan haruslah berdasarkan pengiktirafan pengetahuan dan amalan yang pluralistik dan pendekatan pelbagai, serta perubahan mendasar dalam hubungan kuasa ke arah komuniti yang terpinggir. Hal ini penting bagi mengiktiraf kepelbagaian amalan tempatan dan sistem pengetahuan.
Wolfgang Sachs ahli sosiologi Jerman pula berpendapat bahawa model pembangunan Barat adalah berdasarkan definisi sempit pertumbuhan ekonomi yang mengabaikan kos sosial dan alam sekitar. Beliau memperjuangkan pendekatan alternatif untuk pembangunan yang memberi keutamaan kepada kelestarian, keadilan sosial, dan kepelbagaian budaya.
Gustavo Esteva aktivis dan ahli falsafah Mexico berpendirian bahawa pembangunan adalah sebuah projek kolonial yang mengekalkan ketidaksetaraan dan merosakkan autonomi dan agensi tempatan. Justeru perlunya memperjuangkan transformasi radikal pembangunan yang melibatkan penolakan model Barat dan promosi pengetahuan dan amalan tempatan.
Vandana Shiva aktivis alam sekitar dan sarjana India pula menyatakan model pembangunan Barat yang dominan adalah berdasarkan pandangan mekanistik terhadap alam semula jadi yang mengabaikan pengetahuan dan amalan pribumi. Shiva memperjuangkan pendekatan alternatif untuk pembangunan berdasarkan kelestarian ekologi dan menghormati budaya dan amalan tempatan.
Begitu juga Sylvia Marcos ahli antropologi Mexico dan Ailton Krenak ahli aktivis Brazil yang berpendapat bahawa budaya dan amalan pribumi sering kali ditekan oleh model pembangunan dominan, dan memperjuangkan pendekatan lebih inklusif terhadap pembangunan yang mengiktiraf dan menghargai pengetahuan dan amalan komuniti yang terpinggirkan. Kebanyakan penyumbang idea teori pasca pembangunan ini mdalam bidang multi disiplin melibatkan bidang antropologi, sosiologi, ekonomi, falsafah, kajian alam sekitar sebagainya.
Secara keseluruhannya, pandangan mengenai gerakan dan teori pasca pembangunan ini menekankan keperluan solidariti dan kerjasama antara komuniti dan gerakan sosial di selatan global atau kalangan negara membangun. Ia menyoroti pentingnya membina rangkaian melangkaui sempadan untuk berdepan dan memberikan reaksi terhadap model pembangunan dominan dan tiba masanya untuk memikirkan pendekatan alternatif dalam pembangunan.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).