Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Wabak Ebola baharu di DR Congo ragut 15 nyawa
  • KESIHATAN

Wabak Ebola baharu di DR Congo ragut 15 nyawa

Utusan Sarawak 7 hours ago
GAMBAR fail menunjukkan petugas kesihatan merawat pesakit Ebola yang belum disahkan, di dalam Pusat Rawatan Ebola (ETC) yang disokong oleh MSF (Doktor Tanpa Sempadan) pada 3 November 2018 di Butembo, Republik Demokratik Congo.Satu wabak baharu virus Ebola di Republik Demokratik Congo telah meragut 15 nyawa sejak akhir Ogos, menurut Menteri Kesihatan pada 4 September 2025. Foto AFP

KINSHASA, DR Congo: Pihak berkuasa kesihatan Republik Demokratik Congo (DR Congo) telah mengisytiharkan satu wabak baharu Ebola yang setakat ini meragut 15 nyawa sejak akhir Ogos, menurut Menteri Kesihatan negara itu semalam.

Menteri Kesihatan, Samuel Roger Kamba, berkata wabak berkenaan dikesan di Wilayah Kasai, terletak di bahagian tengah negara tersebut.

Wabak Ebola terakhir di negara Afrika Tengah itu berlaku tiga tahun lalu dan mengorbankan enam orang.

Menurut data awal, sebanyak 28 kes disyaki telah direkodkan di Kasai, dengan kes pertama dikesan pada 20 Ogos, melibatkan seorang wanita hamil berusia 34 tahun yang dimasukkan ke hospital.

“Ini merupakan wabak ke-16 yang direkodkan di negara kita,” kata Kamba dalam satu sidang media di ibu negara, Kinshasa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan jumlah kes akan terus meningkat dan telah menghantar pakar bersama pasukan tindak balas tempatan ke kawasan terjejas.

DR Congo dilaporkan mempunyai simpanan rawatan bagi menangani demam berdarah virus itu, termasuk 2,000 dos vaksin yang akan dipindahkan dari Kinshasa ke Kasai.

“Kami bertindak tegas dan segera bagi menghentikan penyebaran virus serta melindungi komuniti,” kata Pengarah Serantau WHO untuk Afrika, Mohamed Janabi.

Ebola, yang pertama kali dikenal pasti pada 1976 dan dipercayai berasal daripada kelawar, merupakan penyakit virus yang sangat berbahaya, merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan, serta menyebabkan pendarahan serius dan kegagalan organ.

Wabak paling buruk di DR Congo, negara berpenduduk lebih 100 juta orang berlaku antara 2018 hingga 2020, mengorbankan hampir 2,300 nyawa.

Terdapat enam jenis strain Ebola, dan pihak kesihatan mengesahkan bahawa strain Zaire, yang mempunyai vaksin, menjadi punca wabak terbaharu ini.

“Nasib baik kita mempunyai vaksin bagi strain Zaire, namun untuk melaksanakannya, kita perlu memastikan kelancaran logistik,” tambah Kamba.

Dengan keluasan empat kali ganda Perancis, DR Congo terus berdepan cabaran infrastruktur yang lemah serta sistem komunikasi yang terhad dan kurang disenggara. – AFP

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Dua lokasi, satu misi: Kempen Derma Darah anjuran Hospital Miri dan Gereja St. Dominic
Next: Penduduk Kampung Serasot sokong penuh Program Pengawasan Penyakit 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.