
BINTULU: Empat lagi kes baharu denggi dilaporkan di Kampung Baru semalam sekali gus mencetuskan kebimbangan berikutan trend peningkatan kes yang berterusan sejak wabak itu mula diisytiharkan pada 1 Julai lalu.
Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Melvin Chung Hsien Liang berkata, Kampung Baru kekal sebagai kawasan paling terjejas manakala Kampung Sinong dan Pasar Lama Bintulu masing-masing kekal dengan tujuh dan dua kes.
“Kampung Baru, Kampung Sinong dan Pasar Lama Bintulu berada dalam ekosistem persekitaran yang hampir sama dan saling berhubung.
“Keadaan ini menjadikan risiko penularan semakin tinggi jika langkah pencegahan tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan,” katanya ketika ditemui media semasa melakukan pemeriksaan rumah ke rumah di kawasan kampung-kampung yang terjejas di sini, hari ini.
Beliau berkata, masyarakat perlu memahami bahawa denggi bukan penyakit ringan dan boleh membawa komplikasi serius termasuk kematian, sekiranya rawatan lewat diberikan.
“Kami pernah menerima kes denggi teruk dengan bacaan platelet serendah 5,000.
“Paras normal adalah 180,000 dan ke atas. Bila terlalu rendah, risiko pendarahan dalaman meningkat dan pesakit perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya lagi.

Walaupun tiada kematian direkodkan setakat ini, Dr Melvin menegaskan bahawa sikap sambil lewa dalam kalangan penduduk masih menjadi penghalang utama dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan.
“Kami turun padang setiap hari untuk kawalan vektor, semburan nyamuk dewasa dan aktiviti pemantauan.
“Jika penduduk masih tidak peduli dan terus mengabaikan keadaan kawasan persekitaran, usaha ini tidak akan berhasil,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk agar lebih proaktif dalam menjaga kebersihan sekurang-kurangnya dengan meluangkan masa lima minit setiap hari untuk memeriksa kawasan rumah dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes.
“Nyamuk Aedes suka bersembunyi di dalam rumah. Sembur aerosol sebelum senja dan sebelum tidur. Ini antara langkah mudah yang boleh menyelamatkan nyawa,” jelasnya.
Tambah Dr Melvin, situasi tersebut dianggap rumit dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta masyarakat setempat.
“Kita sudah sebulan berusaha sejak 1 Julai tetapi selagi sikap tidak berubah, usaha ini akan terus terbantut,” ujarnya.
Setakat semalam, empat kes baharu demam denggi dilaporkan di Kampung Baru sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan di kawasan itu meningkat kepada 56 kes.
Kampung Sinong kekal dengan tujuh kes manakala Pasar Lama Bintulu mencatat dua kes menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 65 kes.
Oleh Carolyne Utih