Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • WABAK
  • WBS

WABAK

Utusan Sarawak 1 day ago

DAN, penduduk menggelarkan ia, Wabak Kemurkaan Tuhan. Sungguh mengerikan. Sungguh menggerunkan. Tiada pernah selama ini, adanya wabak yang benar-benar mengakibatkan kesan dahsyat sedemikian. Hampir seperdua sekalian di Tanah Besar, manusia dan haiwan putus nyawa. Musnah segala-galanya. Mati.

Kepeningan. Itulah permulaannya. Sesudah itu, demam menyusul dan muncul bintik-bintik merah pada tubuh, gatal merengsakan.

Hanya kurang satu hari, timbul bisul-bisul. Kian besar, dan kian membesar, seumpama saiz guli. Dari bisul-bisul yang pecah itu, mengalir nanah yang sungguh busuk memualkan.

Dari saat itu, isi akan reput-kian mereput menampakkan tulang. Suhu tidak akan turun-turun. Malah, dalam hujung-hujung tempoh, ada sensasi membakar dahsyat dari dalam. Tiada siapa dapat bertahan.

Saat Tanah Besar mati, desa itu, pulau itu turut mengalami perkara sedemikian. Desa yang dahulunya berwarna, kini kelabu melahap segala.

Desa yang dahulunya riang-ria ke sana ke mari, kini tangisan merampas gerak tari. Bayu desa yang dahulunya membawa haruman bunga ke sana sini, kini aroma mayat yang hanya ke sana ke mari.

Cahaya berkelip-kelip terbang di sebalik pohon-pohon. Lanang melihat itu tika duduk di tangga setelah membakar andang di luar rumah. Desa yang dahulunya tika malam, benderang dengan ketaya, kini hanya hitam dan senyap.

Lama juga Lanang bermenung. Kemudian, pandangannya beralih saat melihat Pak Jebat, jirannya itu, yang rumahnya berjarak beberapa depa, mencapai andang lalu menuju ke sumur.

Kelibatnya hilang di sebalik pohon. Tidak lama, kedengaran suaranya menyanyi-nyanyi. Suka benar lelaki tua itu menyanyi meskipun suaranya bagai perian pecah.

Dan, setiap kali itu, Lanang tertawa senyap-senyap ketika suaranya tidak sampai pada nadanya. Jadinya sumbang.

“Oh, Pak Jebat! Menangis awan di atas nanti mendengar suara Pak Jebat itu,” usik Lanang.

Terdengar Pak Jebat tertawa.

“Tidak apa, Lanang. Bagus juga. Enak kita tidur ini malam. Sejuk-sejuk. Boleh peluk-peluk.”

“Saya bolehlah peluk isteri saya. Pak Jebat hendak peluk siapa?”

“Aku peluklah si Temah itu! Susah apa!”

Lanang tertawa. Temah, kucing Pak Jebat yang gendut itu. Kucing jantan tetapi nama Temah. Si Temah itu, gemar benar bermain-main di rumahnya. Gemar benar tidur dan makan di rumahnya. Dan, gemar benar membuang hajat di pokok-pokok bunganya.

Aroma bunga yang Lanang hendakkan tetapi terhidu bau tahi. Ada saat, Lanang terpijak itu. Dia adakalanya ingin marah pada si Temah, namun apalah yang dimengerti oleh haiwan itu. Lalu, Lanang biarkan sahaja.

“Lanang. Ke rumahlah. Ayuh, berbual-bual kita!”

Lanang segera turun; ingin melangkah ke rumah Pak Jebat. Namun tersentak. Tersentak dan dia membisu. Di situ-tiada Pak Jebat! Di situ hanya riuh-rendah dengan sunyi senyap. Dan, di situ, hanya bercahaya dengan kegelapan!

“Ya, Tuhan!” Lanang meraup wajah. Fikirannya terperangkap di dalam jaring mabuk. Pak Jebat telah meninggal dunia dua hari lepas. Lanang hilang lidah. Mengapa dia boleh sebegitu? Lanang menggeleng, mengeluh.

“Abang Lanang?” Kedengaran suara memanggil dari dalam rumah, diikuti dengan batuk-batuk. Lanang naik semula ke rumah. Di situ, seorang wanita sedang berbaring, perlahan-lahan, dengan payah, susahnya hendak bangkit. Lanang lalu bergegas merapat, memeluk, menyokong tubuh isterinya itu.

“Mengapa, Cahaya? Ingin ke bilik airkah?”

Cahaya menggeleng, terbatuk-batuk sebelum bertanya, “Abang hendak ke mana? Apa yang diketawakan tadi?”

Lanang senyum. Lanang menyandarkan tubuh Cahaya ke dinding; mengambil salah satu buluh yang tergantung lalu menuang isinya ke dalam cangkir.

Sesudah itu, Lanang memberikan minuman itu kepada Cahaya, yang segera dihirup. Lanang membaringkan Cahaya semula, duduk di sisi sambil memegang erat jemari, membelai rambut, mengucup dahi.

Lanang melihat beberapa bahagian tubuh isterinya yang ada daun-daun, sudah agak kering. Lalu, lesung diambil olehnya, berserta beberapa helai daun Bunga Raya Putih, lalu melumatkan daun-daun itu.

Mujur sahaja Lanang ada menanam bunga itu di halaman rumah. Boleh dia gunakan untuk merawat bisul-bisul pada tubuh isterinya itu memandangkan kulit-kulit pokok Kayu Manis sudah habis Lanang gunakan. Dia bercadang, esok mencari lagi di hutan sana.

Lanang tidak jijik. Tidak sesekali dia geli melihat tubuh isterinya sedemikian. Kuruskah, gemukkah, hitamkah, mereputkah-mana mungkin dia jijik dengan tangkai kalbunya itu.

Suami itu, seorang yang tinggi tahap tololnya jika ada perasaan jijik terhadap isteri sendiri. Satu kebodohan yang bukan kepalang. Isterinya masih anggun.

Lanang selesai melumatkan daun-daun itu; lalu menempelkan pada bisul-bisul pada tubuh isterinya. Pada tangan, pada kaki, pada leher, wajah, dada, dan kepala. Sesekali, Cahaya menggaru-garu dek gatal amat sehingga pecah bisulnya, lalu mengalir nanah. Baunya cukup, cukup memualkan. Lanang segera membersihkan nanah itu. Tanpa rasa ingin muntah. Tanpa rasa ingin marah.

Sesudah itu, Cahaya tidur kembali. Wabak itu mengakibatkan luka-luka pada kepala, menyebabkan ada rambut Cahaya tertanggal, meninggalkan bekas luka merah yang mereput. Sesekali Lanang membuang ulat-ulat yang geliang-geliut pada luka-luka itu.

Pernah Cahaya mengatakan kepada Lanang yang dia sudah seperti hantu ketika menatap wajahnya pada imbasan air ketika Lanang ingin memandikannya. Namun, Lanang hanya tersenyum.

Lanang kemudiannya mencubit pipi Cahaya lalu mengatakan: “Hantu inilah yang paling cantik yang Abang pernah jumpa.” Lalu, Lanang terus mengucup dahi Cahaya.

Mengucup pipi Cahaya. Mengucup hidung Cahaya. Mengucup kedua-dua tangan Cahaya. Cahaya tersipu-sipu. Cahaya senyum-senyum.

Lanang hendak Cahaya senantiasa berada di sisi. Lanang akan berusaha merawat Cahaya. Lanang akan lakukan apa-apa sahaja. Lanang akan sedayanya menentang wabak yang sedang menggila.

Wabak itu, wabak yang benar-benar tidak mempunyai perasaan kasihan. Dahulu, ketika Tanah Besar banyak yang mati, desa itu masih tidak didatangi wabak itu. Ini disebabkan oleh jasa syahbandar yang sungguh bertanggungjawab, tidak ingin sesiapa, orang luar berlabuh di situ.

Mereka dihalau dek kerisauan ada yang membawa wabak. Dibiarkan terapung-apung di lautan. Dibiarkan mati begitu sahaja. Dibiarkan sahaja, biar kapal serta perahu-perahu itu menjadi kapal berhantu. Kejam.

Ya, memang kejam tetapi segala-galanya ini, adalah untuk keselamatan penduduk desa. Desa itu, benar-benar berpagar.

Namun, segala-galanya berubah dek ulah mandulika yang menjaga kampung itu. Dia dengan senyap-senyap membawa masuk kerabatnya yang melarikan diri dari Tanah Besar, ke desa itu. Syahbandar yang mengetahui penyelewengan mandulika itu, menegurnya; lalu sewenang-wenangnya dibunuh atas alasan dia menderhaka kepada sultan. Dia mencampak fitnah. Lanang tahu itu dek syahbandar itu yang bercerita pada penduduk desa.

Hendak Lanang menentang, namun memikirkan isteri dan anaknya, ketika itu, saat itu-jika dia turut dibunuh, bagaimanakah mereka?-membuatkan Lanang hanya memanggang pawakanya secara senyap-senyap.

Celaka itulah yang membawa wabak-salah seorang kerabatnya telah dijangkiti; lalu Kematian yang berkelubung, ke situ dan ke mari, memenggal jiwa dengan sabit panjang; lalu menyumbat roh-roh ke dalam uncang; tidak henti-henti.

Mandulika keparat itulah yang menyebabkan banyak penduduk desa hilang orang-orang tersayang.

Mandulika keparat itulah yang membuang keriangan dalam desa itu. Si bangsat itulah yang menyebabkan Cahaya menjadi sedemikian. Dan, si bangsat itu jugalah penyebab anaknya turut putus nyawa!

Saat itu, Lanang tidak segan-segan meletakkan segala kesalahan pada pundak mandulika itu. Mengapa mahu salahkan yang lain? Sememangnya itu salahnya!

Lanang benar-benar puas hati ketika mandulika itu telah mati. Kerabat-kerabatnya mati. Puas hatinya Lanang sehinggakan dia pergi ke kubur mandulika itu lalu meludah kuburnya.

Dia menyepak kuburnya sehingga terpelanting batu nisan. Lanang pijak-pijak tanahnya. Lanang lompat-lompat atas kuburnya. Baru puas hatinya.

Namun, entah mengapa, sesudah itu, ketika dalam perjalanan pulang, Lanang berasa bersalah. Sungguh-sungguh.

Lanang berasa bodoh kerana bertindak sedemikian. Hitam dalam dirinya menguasai ketika itu sehinggakan putih tidak berupaya menjadi kesateria. Saat itu juga, dia kembali ke kubur itu lalu meletakkan semula batu nisannya. Tanah yang dihambur-hambur, diatur-atur semula.

Lanang bermenung, memerhatikan cahaya di kejauhan yang sejak tadi berkelip-kelip, terbang ke sini-sana. Batuk Cahaya mengejutkan Lanang. Dia menoleh. Melihat Cahaya bergerak-gerak sebelum lena kembali.

Setelah memastikan Cahaya baik-baik sahaja, Lanang kembali memandang luar. Cahaya api daripada kandil dan andang, meliuk-liuk kala bayu bermain tiup-tiup.

Satu perkara yang Lanang tidak mengerti. Tatkala ramai penduduk terkena wabak, dia langsung sama sekali tidak terkesan. Dia tidak dijangkiti. Ya, itu seharusnya menjadi kesyukuran buat dirinya.

Tiada terkesan pada wabak yang sedang mengganas itu, membenarkan dirinya boleh menjaga Cahaya dengan sebaik-baiknya. Dia sudah kehilangan satu-satu sahaja anaknya, dan dia tidak hendak kehilangan Cahaya.

Lanang menguap. Tiada apa-apa di luar yang boleh dijadikan halwa pandangan. Beberapa detik, hanya ilai jengkerik sampai ke kuping. Anehnya, suara itu seolah-olah lagu dodoi yang menyebabkan matanya perlahan-lahan tertutup. Semakin terkatup, kian terkatup.

Namun, tidak semena-mena, kedengaran Cahaya batuk-batuk. Lanang membuka mata. Batuk Cahaya, perlahan-lahan lalu kian kuat. Kuat dan kian kuat. Lanang bingkas lalu menghampiri Cahaya.

Mengurut belakangnya. Batuk Cahaya makin parah dan semakin parah. Tiba-tiba, Cahaya memuntahkan darah. Bersembur-semburan. Batuknya pula kian parah, kian parah dan semakin parah.

Dari rongga-rongga, darah berpancutan. Cahaya memuntahkan darah, kian dahsyat dan semakin dahsyat; parah dan semakin parah. Di situ, di sana, warna kesumba - warna gelap darah. Lencun membasahi baju dan tilam.

Lanang panik. Sungguh! Air matanya pula, tidak henti-henti keluar.

Tiba-tiba, tersendat-sendat nafas Cahaya. Matanya terbuntang. Dia kejang-kejang. Tak tertahan air mata. Dengan satu tarikan nafas yang terdalam, yang direnggut, - ketika itu, api di kandil, terpadam-

Cahaya tidak lagi bercahaya.

Saat itu juga Lanang meraung. Maha dahsyat raungannya sehinggakan jengkerik membisu, pungguk terkaku, kelawar membatu, dan bayu membeku. Meletup sedihnya sehingga bersemburan darah kelabu. Lanang meratap. Biarkan dirinya lemas dalam air mata. Dia memeluk tubuh Cahaya, erat-erat.

Erat-erat.

Entah. Entah berapa lama dia sebegitu. Lanang tidak tahu. Lanang longlai. Lanang putus asa. Lanang membara. Kini, dia kehilangan lagi orang tersayang. Cahaya yang kaku, masih berada dalam pelukannya. Tidak. Lanang tidak hendak melepaskan Cahaya! Biarkan. Biarlah Cahaya berada dalam pelukannya. Selama-lamanya.

Dan, ketika itu, dari jauh terlihat, sekonyong-konyong, satu cahaya berkelip-kelip, keluar dari sebalik pohon, merapat dan kian merapat. Cahaya itu masuk ke dalam rumah Lanang lalu terapung-apung, tepat, tepat di hadapan Lanang.

Lanang bungkam. Lanang terpegun. Dia pantas memeluk Cahaya seerat-eratnya agar entiti yang tak ketahuan itu, tidak merampas Cahaya daripadanya.

Silau yang membungkus, perlahan-lahan menyusut. Tidak hilang, namun jelas bentuk wujudnya. Lanang melihat makhluk itu. Kecil tubuhnya. Jasadnya seakan-akan manusia, bersayap lebar bagai burung, wajahnya-tidak terlihat dek cahaya, dan makhluk itu, wangi benar!

“Lanang.” Makhluk itu berjeda sesaat. “Mahukah engkau aku hidupkan semula, Cahayamu?”

Lanang tersentak. Makhluk itu berkata-kata-suara wanita? Bukan. Suara lelaki? Juga bukan!

“Siapakah engkau? Apa mahumu?”

“Aku?” Tertawa makhluk itu.  “Aku ialah Hayat. Aku memberi hidup pada segala-gala makhluk di dunia. Lalu, mahukah engkau aku berikan nyawa pada Cahayamu?”

Lanang bungkam.

“Engkau hendakkan Cahaya sentiasa di sisimu, bukan begitu?”

Lanang kekal membisu.

“Benar, bukan?”

Lanang berfikir-fikir.

“Usahlah engkau menghinap-hinap kata-kataku ini. Aku tidak berbohong.”

Makhluk itu menjentik tangannya.

Lalu, Cahaya hidup semula!

Lanang terpegun.  Aneh. Sungguh-sungguh aneh!

Makhluk itu menjentik jarinya semula.

Lalu, Cahaya mati kembali.

Lanang memandang makhluk itu. Memandang Cahaya. Memandang makhluk itu semula. Memandang Cahaya. Tanpa berkira-kira, tanpa membuang masa, Lanang mahu,  hendak Cahaya hidup semula. Hendak sekali!

“Aku mahu! Hidupkan semula Cahayaku!”

“Jika engkau mahu, sentuhlah tanganku. Akan aku bawa engkau dan Cahaya ke dalam duniaku.” Makhluk itu menghulurkan tangannya.

Lanang menghulurkan tangannya juga namun terhenti beberapa inci dari tangan makhluk itu.

“Ayuh. Tunggu apa lagi dirimu. Ayuh!”

Lanang memandang Cahaya. Cahaya, si tangkai kalbunya.

“Ayuh. Capai tanganku. Ayuh! Bukan sahaja Cahaya yang ada di situ. Anakmu juga ada. Ayuh, Lanang. Sentuhlah tanganku!”

Lanang tidak berkutik.

“Ayuh! Tunggu apa lagi. Ayuh!”

“Ayuh, Lanang!”

Lanang menarik nafas. Dia tekad. Lanang terus menggenggam tangan makhluk itu. Tersentuh sahaja; lalu, Lanang ditelan oleh lantai lalu berpusar-pusar dalam dimensi yang ketahuan tidak. Maka, bertempiklah Lanang dalam pusaran yang mengerikan. Semakin ke dalam, kian tenggelam dan kian ke dalam.

Lanang takut. Maha gerun. Secara tiba-tiba, seseorang menggenggam tangan Lanang, dengan erat lalu menarik tubuhnya. Sedaya tubuhnya ditarik. Kemudian, tubuhnya Lanang didakap seseorang. Hangat. Hangat sungguh dakapannya. Serentak itu juga, pusaran memeningkan, jua mengerikan itu, hilang! Hilang begitu sahaja.

Hangat. Hangat sekali dakapan ini. Lanang berasa nyaman. Nyaman sekali.

“Abang Lanang!”

Lanang membuka mata. Cahaya! Cahaya memandangnya. Lanang dilanda sebak. Dia segera memeluk Cahaya. Namun, aneh-dia tidak mampu menyentuh Cahaya. Ganjilnya, Cahaya mampu menyentuh Lanang. Lanang merasai kehangatan sentuhannya. Hangat sekali!

“Abang Lanang.”

Mendengar suara itu, Lanang terus menangis. Kian deras dan semakin menderas air matanya.

“Lepaskanlah segala-galanya, Abang Lanang. Pergilah.”

Lanang mengangguk. Lanang mengerti. Lanang sedar.

Cahaya menyentuh bahunya.

Oleh Joe Julaihi

Continue Reading

Previous: Luar Dalam Gambaran Emosi
Next: Kata Konkrit dan Kata Abstrak dalam Sajak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.