VIRUS Korona merupakan virus yang cukup hebat.
Betapa tidaknya, ia berjaya melumpuhkan Wawasan 2020 kita di Malaysia, yang kita ‘sanjungi’ sebelum itu sebagai sebuah idealisme yang hebat. Tetapi ternyata lebih hebat lagi virus Korona itu yang mulai dikesan di Wuhan pada November 2019.
Justeru, usah dituding jari kepada pencetus idealisme Wawasan 2020 Tun Dr Mahathir Mohamed, kerana ketika beliau mencarta hala tuju ke arah Wawasan 2020 itu beliau tidak menjangkakan virus Korona boleh muncul, dan boleh pula melumpuhkan satu dunia! Bukan salah dia pun.
Pada Disember 2019, salah satu kuasa besar dunia yang bernama negara China terpaksa akur, dan memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa beberapa kes pneumonia yang luar biasa telah berlaku.
China bertindak sedemikian kerana kes yang serupa telah mulai dikesan di luar China, iaitu di Thailand pada 13 Januari 2020.
COVID-19 KEBIMBANGAN ANTARABANGSA
Ekoran itu, WHO terpaksa mengisytiharkan rebakan virus yang pada mulanya digelar 2019-nCoV yang merupakan wabak Darurat Kesihatan Awam bertaraf Kebimbangan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern) perlu dinamakan semula.
Pada ketika dua kes pertama dilaporkan di Malaysia pada 25 Januari 2020 dan pada 11 Februari 2020, WHO sudah mengisytiharkannya dinamakan semula sebagai Covid-19.
Begitu susur-galur Pandemik yang kita ungkapkan setiap hari sekarang. Latar belakangnya biarlah kita semua fahami.
Virus Covid-19 itu memang wujud. Nyata.
Ia memang fatka, sesungguhnya hakikat, bukan ocek-ocek atau main-mainan.
Muncul pula media sosial yang menyatakan sebaliknya. Seolah-olah itu hanyalah gimik politik dunia, helah kuasa besar dunia, lalu dipropagandakanlah oleh media sosial ini bahawa kita tidak perlu bersuntik.
PROPAGANDA SONGSANG
Segelintir dari kalangan anggota masyarakat kita pula jenis yang terlalu mudah terpengaruh membantu menyebarluaskan propaganda songsang itu dan mewujudkan kekeliruan, kecelaruan dan kesangsian yang cukup hebat.
Akibatnya semua itu, statistik tentang kes positif Covid-19 kian meningkat, kian mengancam, dan kian membuat kita terus panik, menggelabah dan melumpuhkan jati diri kita. Ada segelintir dari kalangan kita yang trauma dan mengalamai masalah psikologi yang menuntut pemeriksaan psikiatri.
Bila keadaan begini berlaku, apa lagi bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman kita, sudah tentulah mereka pun KONPIUS! (ginei tok oo…lalulah! Endak kamek betah koh!)
Pandemik Covid-19 telah menekankan ekonomi Malaysia, khususnya, dan ekonomi dunia amnya.
POLEMIK POLITIK
Dalam kita bergelut dengan kekucar-kaciran pandemik Covid-19, muncul pula polemik politik yang mendukacitakan.
Pada ketika itu Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan Malaysia yang demokratik, namun ia hanya berupaya bertahan selama 22 bulan.
Tidak perlu kita mengkiblatkan di mana pihak harus kita sokong dan yang mana pihak yang tidak harus, apa yang penting ialah BOLEHKAH KESTABILAN POLITIK WUJUD?
Rentetan peristiwa-peristiwa politik yang menyusul telah menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-8 pada 1 Mac 2020, ekoran perletakan jawatan oleh PM ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jejak-jejak Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM baharu menyaksikan beliau terpaksa mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sehingga kini sudah sampai ke siri yang ke-6.
Corak hidup rakyat Malaysia terpaksa berubah dengan amalan Norma Baharu yang ternyata mencorakkan pola geopolitik dan sosioekonomi yang bukan kepalang amat janggal pada mulanya untuk disesuaikan namun akhirnya alah bisa tegal biasa.
Krisis demi krisis bergolak dalam bidang ekonomi Malaysia yang menjurus kepada tindakan menghampar pakej-pakej peransang ekonomi dari Pakej Peransang Ekonomi Rakyat (PRIHATIN) sehinggalah ke Pakej Pemulihan Ekonomi Nasional (PENJANA) berjumlah RM315 bilion.
HIKMAH SEBALIK MUSIBAH
Ketika tirai tahun 2020 dilabuhkan dengan tiada sebarang petanda untuk mereda, malah tirai tahun 2021 dinaikkan dengan penyerlahan baharu iaitu Malaysia dilihat sebagai negara pertama dari Tenggara Asia yang mengumumkan keakuran untuk membeli 12.8 juta dos vaksin Pfizer.
Susulan dari itu ada lagi beberapa nama vaksin berlainan jenama disebut-sebut dan dimasukkan, termasuklah AstraZeneca, Sinovac, dan Moderna yang sudah tentu memancarkan sinar harapan bahawa musibah Covid-19 bakal kita nyahkan dari bumi kita ini.
Perkembangan seterusnya berlaku dalam kepelbagaian rentak, rima dan ritmanya, malah kita dapat menyaksikan semakin lama musibah berlangsung semakin kreatif hikmah yang ditemui, dan Malaysia terus menjejakkan masa depan dengan rentak positiviti yang terus menerawang cakerawala masa depan yang tidak boleh dinyatakan dengan tuntas dan mutlak apakah akan terjadi.
Ketika ini pergolakan politik pun terus bergerak dalam rentak yang sukar untuk dibaca ke mana sebenarnya hala tuju yang hendak kita capai.
Begitupun, rakyat Sarawak berasa bertuah kerana bahtera politik kita pada peringkat wilayah kita sendiri bagaikan dikemudikan oleh kelasi politik yang cukup rasional, berwawasan dan berjiwa kental.
Untuk mengharungi ombak badai yang mencorak warna politik ketika ini kita, sebagai rakyat massa Bumi Kenyalang perlu menjadi penyokong dan pendokong setia yang mahu menjadi penyumbang kepada kejayaan kita untuk menggapai destinasi yang merupakan destini yang aman, maju serta makmur seawall tahun 2030 – sepuluh tahun selepas W2020 gagal.
EKONOMI DIGITAL
Impian segar yang muncul dari debu kelumpuhan yang diakibatkan oleh penangan Covid-19 ini ialah hasrat untuk menginjak ekonomi digital sebagai landasan menuju masa depan yang lebih berjaya.
Malah gambaran besar yang dilakar oleh para pencarta hala tuju baharu kita ialah untuk mencemerlangkan Malaysia sebagai negara tersohor dalam kelompok Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam aspek ekonomi digital ini.
Pernah ketua pegawai eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri melafazkan bahawa MDEC meletak harapan tinggi agar Kementerian Kewangan Malaysia akan terus menyokong aspirasi MDEC untuk menjadikan Malaysia JANTUNG DIGITAL ASEAN.
Dalam konteks aspirasi ekonomi digital, tidak usahlah kita bersuluh dalam terang bahawa Sarawak terkedepan dalam usaha dan inisiatif ke arah itu.