Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Vokal, emosi menusuk jiwa, Hafiz Suip buktikan auranya masih berbisa
  • HIBURAN

Vokal, emosi menusuk jiwa, Hafiz Suip buktikan auranya masih berbisa

Utusan Sarawak 6 hours ago
HAFIZ Suip terima kejutan, ibu bapa tercinta naik ke atas pentas konsert solonya yang berlangsung Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR: Sejak bangkit daripada ‘fasa gelap’ dalam kehidupan yang hampir menggelamkan kilauan bintangnya di puncak karier, Hafiz Suip tampaknya enggan lagi menoleh ke belakang apabila kini tampil dengan aura dan semangat baharu menyengat dunia seni tanah air.

Segalanya terbukti pada Sabtu lepas, apabila Hafiz yang terkenal dengan vokal balada emasnya ini menggegarkan pentas konsert sulungnya, ‘Di Sebalik Aku: Hafiz Suip Live in Concert’, sebagai hadiah istimewa buat peminatnya yang sekian lama menantikan detik itu sepanjang 15 tahun perjalanan seninya.

Bukan sekadar ‘comeback’ atau persembahan biasa, sebaliknya konsert solo jejaka berusia 35 tahun ini di Megastar Arena, menjadi ruang introspeksi buat hampir 4,000 peminatnya untuk menyelami kisah seni yang sarat emosi dan perjuangannya menempuh pelbagai cabaran sepanjang bergelar anak seni.

Dengan membuka tirai persembahannya tepat pada 8.30 malam dengan lagu ikonik Awan Nano, yang mengangkat namanya ke puncak populariti, Hafiz sepanjang konsert dilihat tidak henti-henti meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada peminatnya atas sokongan yang terus menghidupkan langkah seninya. 

“Terima kasih kerana terus menyokong saya. Saya masih di sini, saya tidak pernah menghilang. Tanpa anda semua, tidak akan ada Hafiz Suip,” kata pemilik nama Mohamad Hafiz Mohamad Suip disambut tepukan gemuruh penonton yang jelas menghargai keikhlasan dan bakat luar biasa penyanyi itu.

Bagaikan mengubati kerinduan peminat terhadap pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) tiga kali berturut-turut ini, kehangatan malam itu kian membara apabila peminat bagaikan tidak mahu melepaskan momen berharga selama dua jam menyanyi bersama-sama idola mereka. 

Bahkan suasana bertambah gamat apabila anak kelahiran Kuching, Sarawak ini turun dari pentas menyapa peminatnya sambil mendendangkan lagu Watak, detik yang mencetuskan sorakan ‘histeria’ dan jeritan penuh gemuruh, seolah-olah seluruh sudut Megastar Arena tenggelam dalam alunan merdu Hafiz.

Mengakui dirinya sedikit gementar pada awal persembahan, bapa kepada dua cahaya mata itu bagaimanapun berkata rasa gugup itu akhirnya lenyap sebaik melihat wajah-wajah peminatnya yang setia menanti dengan penuh sokongan dan kasih yang tidak pernah pudar.

Biarpun begitu, suasana penuh membara itu bertukar hening dan diselubungi penuh emosi tatkala kedua-dua ibu bapanya membuat kemunculan istimewa di atas pentas ketika penyanyi ini sedang mengalunkan lagu Pelangi Petang, nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

“I want you to know, even if you don’t have a leg, I will be your leg,” katanya dalam nada sebak kepada bonda tercinta yang kehilangan sebelah kaki akibat komplikasi diabetes.

Malam penuh makna yang menjadi momen berharga bukan sahaja buat Hafiz dan peminatnya, diwarnai dengan 20 lagu yang dipersembahkan penyanyi ini termasuk Matahari, Terus Bersinar, Masih Jelas dan Bahagiamu Deritaku, yang menampilkan sentuhan muzik istimewa di bawah arahan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.

Konsert itu juga turut diserikan dengan kehadiran beberapa artis undangan termasuk penyanyi muda berbakat besar Umairah yang bergandingan dengannya menyanyikan lagu Muara Hati dan Salahkah, serta kemunculan istimewa Sufi Rashid menerusi duet Ku Akui.

Selain itu, keserasian antara Hafiz dan Adira Suhaimi pula mencipta detik penuh nostalgia apabila pasangan duet itu kembali berpadu suara menerusi rangkaian lagu hit romantik seperti Takdir Tercipta, Untuk Cinta, Ombak Rindu dan malam penuh magis itu ditutup tirai dengan lagu Kisah Cinta yang menjadi simbol perjalanan seninya sejak lebih sedekad lalu.

Ditemui Bernama selepas menjayakan konsert, Hafiz berkata hanya mengambil masa tiga minggu menjalani sesi latihan intensif bersama pemuzik, meskipun sudah lama tidak mengadakan persembahan berskala besar.

Mengenai perancangan seterusnya, Hafiz berkongsi sedang menyiapkan beberapa single baharu hasil ciptaan komposer terkenal Ajai termasuk lagu Yang Kau Mahukan yang dipersembahkan buat pertama kali pada konsert itu.

“Insya-Allah, tiga lagu dah siap rakaman. Dua lagi dalam proses. Doakan semuanya berjalan lancar,” katanya yang kini menetap di negeri kelahirannya.

-BERNAMA

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Peminat Taylor Swift serbu muzium di Jerman yang simpan lukisan ‘Ophelia’

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.