Violet Yong gesa Jabatan Kebajikan bantu mereka yang gagal terima SKAS

Facebook
WhatsApp
VIOLET Yong pada sidang media

KUCHING: Violet Yong menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak menyalurkan bantuan kepada individu yang gagal menerima Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), khususnya golongan warga emas, pesakit serta mereka yang terlantar sakit.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pending itu berkata, perkara berkenaan berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata laman web tersebut menyatakan warga emas dan pesakit yang tidak berjaya menerima bantuan SKAS boleh menghubungi jabatan berkenaan bagi mendapatkan bantuan.

 LAMAN web jabatan kebajikan

“Salah satu syarat untuk menerima bantuan SKAS ialah pengesahan identiti melalui pengecaman wajah. Namun terdapat pemohon yang mengalami strok atau sakit tenat tidak dapat melepasi proses pengecaman wajah tersebut,” katanya.

Menurutnya, terdapat pesakit yang terlantar sakit atau tidak dapat membuka mata, sekali gus menyukarkan mereka menjalani proses pengesahan identiti berkenaan.

Terdahulu, Yong membantu seorang suri rumah dikenali sebagai Mdm Kong membuat rayuan bagi mendapatkan bantuan SKAS.

Katanya, permohonan bantuan wanita berkenaan ditolak tahun ini kerana suaminya berasal dari Johor.

Yong berkata, beliau akan menulis kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak berhubung kes permohonan yang ditolak itu bagi mendapatkan pertimbangan lanjut.

Oleh Connie Chieng