Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Vijay puji kekuatan masyarakat majmuk Malaysia dalam pelihara bahasa, sinema Tamil
  • HIBURAN

Vijay puji kekuatan masyarakat majmuk Malaysia dalam pelihara bahasa, sinema Tamil

Utusan Sarawak 5 hours ago
PELAKON popular selatan India dan kini bergelar ahli politik, Vijay hadir pada pelancaran audio filem terbaharunya ‘Jana Nayagan’, di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Landskap pelbagai budaya  serta kewujudan komuniti Tamil sejak sekian lama di Malaysia membantu kelangsungan bahasa komuniti itu dan sinemanya jauh melangkaui India, kata Vijay, aktor popular India Selatan yang kini bergelar ahli politik.   

Bercakap di hadapan kira-kira 80,000 hadirin di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada Sabtu bersempena dengan pelancaran audio filemnya yang ke-69, ‘Jana Nayagan’, Vijay, 51, berkata Malaysia menyerlah dalam kalangan pasaran seberang laut bukan hanya dari segi jumlah penonton tetapi juga keupayaannya memelihara budaya Tamil dalam lingkungan masyarakat majmuk yang berbagai bahasa.  

Beliau berkata hari ini komuniti Tamil menetap di lebih 150 buah negara, dan Malaysia antara negara yang mempunyai penduduk Tamil terbesar di luar India, menjadikannya tonggak penting dalam ekosistem budaya Tamil global. 

“Malaysia istimewa kerana budaya Tamil di sini berkembang seiring dengan budaya, bahasa dan kepercayaan lain. Kewujudan secara bersama ini membolehkan sinema dan tradisi Tamil terus hidup merentas generasi,” katanya disambut tepukan gemuruh pada acara yang dianjurkan oleh Malik Streams Corporation itu.

PEMINAT menyaksikan pelakon popular selatan India dan kini bergelar ahli politik, Vijay dan pelancaran audio filem terbaharunya ‘Jana Nayagan’, di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Foto Bernama

Menyentuh keharmonian masyarakat majmuk Malaysia, Vijay berkata keterangkuman dicerminkan dalam amalan budaya harian yang melangkaui sempadan etnik dan agama, menepati falsafah Tamil ‘Yaadhum Oorey, Yaavarum Kelir’ (setiap tempat adalah rumah, setiap manusia adalah saudara). 

Vijay juga berkata penglibatan konsisten Malaysia dengan filem Tamil menjadikan negara ini sebagai rujukan yang dihormati dalam industri dan penonton luar negara sering mempengaruhi cara filem Tamil diingati di peringkat global.

“Kadang-kadang dengan hanya sebut nama filem sahaja sudah mengingatkan kita kepada Malaysia,” katanya, mengimbas dua filem lakonannya, ‘Kuruvi dan Kaavalan’ turut menjalani penggambaran di Malaysia.

Menyoroti kerjaya filemnya selama 33 tahun, Vijay berkata peminat teguh di sampingnya tatkala beliau melalui fasa paling mencabar dalam hidup, termasuk berdepan kritikan, kesukaran dan ketidaktentuan terutamanya pada tahun-tahun awal pembabitan beliau dalam industri.

PELAKON popular selatan India dan kini bergelar ahli politik, Vijay menyampaikan ucapan pada pelancaran audio filem terbaharunya ‘Jana Nayagan’, di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Foto Bernama

“Sepanjang 33 tahun lalu mereka menunjukkan komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bagi. Ucapan ‘terima kasih’ saja tidak mencukupi, sebaliknya saya perlu membalasnya dengan penuh penghargaan. Kini, saya meninggalkan dunia perfileman demi peminat yang telah banyak berkorban untuk saya,” katanya sambil menambah bahawa ‘Jana Nayagan’ akan menjadi filem terakhirnya sebelum beliau beralih sepenuhnya ke arena politik.

Vijay baru-baru ini melancarkan parti Tamilaga Vettri Kazhagam dan merupakan calon rasmi ketua menteri bagi pilihan raya negeri Tamil Nadu 2026.

Majlis pelancaran audio itu dihadiri oleh beberapa tokoh terkenal industri filem Tamil, antaranya pengarah muzik Anirudh Ravichander, pelakon/pengarah Prabhu Deva, serta pengarah Atlee dan Nelson Dilipkumar, berserta pelakon dan kru kreatif filem ‘Jana Nayagan’. 

Acara itu yang berlangsung selama hampir 10 jam turut dimasukkan dalam Malaysia Book of Records kerana mencatatkan jumlah kehadiran tertinggi bagi pelancaran audio di negara ini. Diterbitkan oleh  KVN Productions, tayangan ‘Jana Nayagan’ dijadualkan bermula pada 9 Januari depan.

-Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Teater Muzikal Kesuma Santubong temui penonton Sabtu dan Ahad ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.