
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 34 orang terkorban dan 140 lagi cedera akibat Taufan Bualoi yang melanda Vietnam, meninggalkan jejak kemusnahan serta mengakibatkan kerugian ekonomi dianggarkan berjumlah kira-kira 8.78 trilion dong (AS$332.51 juta).
Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), taufan yang mendarat pada Isnin membawa hujan lebat, banjir, tanah runtuh dan angin kencang. Setakat 6 petang Rabu, 20 orang masih dilaporkan hilang.
Pihak Berkuasa Pengurusan Daik dan Bencana Vietnam di bawah Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar melaporkan taufan itu turut menyebabkan 153 rumah runtuh serta merosakkan atau menerbangkan bumbung 154,565 rumah yang lain.
Bagi sektor pertanian, 48,714 hektar sawah padi dan tanaman lain ditenggelami air atau musnah, 13,334 hektar akuakultur rosak manakala 383,091 ternakan dan unggas mati atau dihanyutkan banjir.
Di wilayah tengah Thanh Hoa, Nghe An, Ha Tinh dan Quang Tri, hampir 2.7 juta pelanggan mengalami gangguan bekalan elektrik.
Bekalan kuasa telah dipulihkan kepada lebih 1.93 juta pelanggan, manakala lebih 774,000 lagi masih terputus bekalan elektrik. Perkhidmatan telekomunikasi juga terjejas di beberapa kawasan.
Kerugian ekonomi awal dianggarkan sebanyak 75 bilion dong di Lao Cai, 528 bilion di Son La, 1.627 trilion di Nghe An, 6 trilion di Ha Tinh dan 550 bilion di Quang Tri.- Bernama