![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2020/08/vietnam-gesa-e1597544691169.jpg)
![](https://www.utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2020/08/vietnam-gesa-e1597544691169-1024x550.jpg)
HANOI: Vietnam menggesa sekatan ditarik balik dan mewujudkan syarat mudah untuk aktiviti bantuan kemanusiaan di bawah konteks pandemik Covid-19.
Gesaan itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pham Binh Minh semasa perbahasan terbuka peringkat tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pandemik dan cabaran untuk mengekalkan keamanan, pada Rabu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai kesan mendalam Covid-19 pada semua aspek kehidupan yang mengancam kemajuan proses damai dan aktiviti kemanusiaan di kawasan dilanda konflik di seluruh dunia.
Minh menekankan perlunya penyelesaian komprehensif dan Vietnam mengalu-alukan penerimaan Resolusi 2532 oleh Majlis Keselamatan, mengenai tindak balas Covid-19 dan menyokong rayuan Setiausaha Agung PBB untuk gencatan senjata global.
Pada perbahasan itu peserta menyambut baik kelulusan Resolusi 2532 dan perjuangan melawan Covid-19 menjadi peluang untuk meningkatkan kolaborasi serta penyatuan antarabangsa di PBB- Bernama