Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Video Zara Qairina berbasikal tulen, tidak diubah suai – Saksi
  • MAHKAMAH

Video Zara Qairina berbasikal tulen, tidak diubah suai – Saksi

Utusan Sarawak 5 hours ago
VIDEO Zara Qairina berbasikal tulen, tidak diubah suai – Saksi

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa rakaman video yang memaparkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir sedang menunggang basikal pada 12 Julai tahun lepas adalah tulen dan tidak pernah diubah suai.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Mohamad Zaidi Abu Hassan berkata, berdasarkan pengalaman dan analisis teknikal yang dijalankan, beliau mengesahkan video berkenaan merupakan rakaman asal.

Saksi ke-70 itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh yang merujuk kepada rakaman video memaparkan Allahyarham berbasikal bersama seorang rakan sekitar 4.43 petang, 12 Julai tahun lepas.

Bagaimanapun, Mohamad Zaidi berkata, hasil analisisnya tidak dapat mengenal pasti lokasi sebenar rakaman video tersebut dibuat.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa terdapat beberapa video lain yang diekstrak daripada telefon bimbit yang dianalisisnya, termasuk rakaman bertarikh 9 Mac 2025 berdurasi 29 saat pada 11.29 malam, serta satu lagi video berdurasi satu saat pada 11.38 malam. 

Selain itu, Mohamad Zaidi berkata, perbualan mesej aplikasi WhatsApp antara 12 hingga 13 Julai tahun lepas daripada telefon bimbit berlabel ‘WF11’ yang dianalisisnya mengandungi sebanyak 3,285 muka surat.

“Pada 12 Julai, saya tidak menjumpai seperti yang dimohon (perbualan teks),” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya sekitar 4.00 pagi.

Pada 13 Ogos tahun lepas, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis dan pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara turut mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Amang seksual fizikal: Lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Sibu
Next: Mahkamah dengar rakaman Zara Qairina luah rasa sayang kepada ibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.