

TULAR…..tangkap layar video yang merakamkan kejadian sebuah kereta melanggar beberapa kenderaan lain tular di media sosial, hari ini.
SIBU: Pemandu kereta yang tular dalam rakaman video melanggar penunggang motosikal berhampiran SMK St. Elizabeth, Jalan Oya, di sini semalam, disahkan positif dadah jenis amphetamine.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata suspek ditahan tidak lama selepas kejadian dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia berada di bawah pengaruh dadah.
“Rakaman berdurasi satu minit 29 saat yang tular di media sosial menunjukkan tindakan melulu suspek melanggar sebuah motosikal sebelum bertindak melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, suspek turut dipercayai melanggar beberapa kenderaan lain ketika cuba meloloskan diri di kawasan berkenaan.
Zulkipli berkata, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun.
Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati positif dadah. Jika disabitkan, kesalahan itu boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berhubung kejadian tersebut bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan.
“Polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan telus,” tegasnya.