KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bakal menerbitkan sebuah video muzik Tahun Baharu Cina yang menonjolkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sarawak serta kekayaan warisan budayanya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, inisiatif ini bukan sahaja meraikan keunikan budaya tetapi juga menggambarkan aspirasi Sarawak menuju Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Perpaduan, keharmonian dan keamanan adalah kekuatan utama Sarawak. Nilai-nilai ini menjadi asas kepada kemajuan negeri, khususnya dalam mencapai matlamat PCDS 2030, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mendapatkan autonomi dalam bidang kesihatan serta pendidikan.
“Enam tahun mendatang amat penting bagi Sarawak untuk terus melangkah dalam perjalanan transformasi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi rakaman video muzik di Taman MBKS di sini, semalam.
Dr. Sim turut menekankan bahawa perubahan besar yang dicapai Sarawak dalam tempoh sedekad ini membuktikan komitmen rakyat dan kerajaan negeri terhadap pembangunan mampan.
Sementara itu, Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng, berkata video muzik tersebut juga bertujuan mempromosikan warisan budaya kawasan Padungan yang kaya dengan tapak-tapak bersejarah dan mural unik.
“Video ini bukan sahaja meraikan musim perayaan tetapi juga menonjolkan keindahan budaya dan sejarah Padungan. Kami berharap usaha ini dapat menarik lebih ramai pelancong untuk meneroka kawasan ini,” katanya.
Mengulas mengenai patung kucing putih ikonik di Padungan yang dihias dengan pakaian tradisional Cina, Dato Wee berkata ia bertujuan menyemarakkan tema perayaan.
“Hiasan patung kucing mengikut tema perayaan merupakan salah satu cara kami meningkatkan daya tarikan bandar ini. Kami sentiasa terbuka kepada maklum balas, khususnya kritikan membina, untuk memperbaiki usaha kami,” katanya.
Video muzik ini dijangka menjadi medium penting dalam memperkenalkan keunikan budaya Sarawak kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa, selain memupuk perpaduan rakyat di negeri ini.