
SIMANGGANG: Seramai 13 penduduk kampung berjaya mengkhatamkan al-Quran dalam Majlis Khatam al-Quran Veteran Kampung Lemanak yang berlangsung meriah dan penuh kesyukuran di Surau Hayatul Islam Kampung Lemanak, di sini hari ini.
Sebelum majlis bermula, para peserta khatam yang diketuai oleh Ketua Kaum Kampung Lemanak, Jamali Hamden, telah diarak mengelilingi kampung sebagai simbol kesyukuran dan penghargaan atas kejayaan menamatkan bacaan al-Quran, sebelum perarakan berakhir di surau berkenaan.
Peserta yang terlibat terdiri daripada golongan veteran berusia antara 45 hingga lebih 60 tahun, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada al-Quran.

Menurut Jamali Hamden, program mengaji al-Quran itu telah dimulakan sejak enam bulan lalu hasil kesepakatan dan semangat bersama peserta yang ingin memperbaiki bacaan serta mempelajari al-Quran dengan lebih baik.
“Sejak enam bulan lalu, ada dalam kalangan kami yang masih belum pandai membaca al-Quran, namun dengan usaha berterusan, kesungguhan dan bimbingan yang diberikan, akhirnya kami berjaya menamatkan bacaan sehingga khatam,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Jamali berkata kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan para peserta, malah menjadi contoh dan inspirasi kepada masyarakat setempat khususnya generasi muda agar tidak berputus asa dalam menuntut ilmu agama.
Majlis itu turut diserikan dengan bacaan doa kesyukuran serta penyampaian cenderamata kepada peserta khatam, sekali gus memperlihatkan keakraban dan semangat ukhuwah dalam kalangan penduduk Kampung Lemanak.

Turut memeriahkan lagi majlis ialah dengan kehadiran Kumpulan Muslimah Berqasidah dan Berselawat Dalailul Khairat, diketuai oleh Talhah Abdul Karim, yang memperdengarkan alunan selawat, zikir dan tahlil mereka.
Dalam pada itu, majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Surau Hayatul Islam Kampung Lemanak, Abdul Rahman Muhyiddin dan turut menyampaikan cenderahati kepada kesemua 13 peserta veteran.
Oleh Adi Safarman