
MIRI: Sebuah vesel tunda yang gagal mengemukakan dokumen stabiliti kapal ketika diperiksa pihak berkuasa, ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, vesel terbabit ditahan sekitar 2.30 petang pada kedudukan lebih kurang 2.4 batu nautika barat Sungai Miri hasil pemeriksaan rutin oleh aset penguat kuasa.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana gagal mengemukakan dokumen stabiliti kapal seperti dikehendaki undang-undang.

“Vesel itu dikendalikan seorang nakhoda bersama lapan kru warga Indonesia berusia antara 25 hingga 58 tahun. Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, vesel berkenaan kemudiannya diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Katanya, pemilik dan pengendali vesel diingatkan supaya memastikan semua dokumen kapal sentiasa lengkap serta sah sebelum beroperasi bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
“Kegagalan mematuhi peraturan bukan sahaja satu kesalahan, malah boleh menjejaskan aspek keselamatan pelayaran dan nyawa kru,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016 atau talian kecemasan 999.
Oleh Liong Chai Ling